Judul: Hentikan Fitnah Di Media Sosial
Kategori: Artikel
HENTIKAN FITNAH DI MEDIA SOSIAL
Muhamad Fadhli bin Ahmat
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri


Pendahuluan

Penggunaan media sosial merupakan keperluan kepada masyarakat hari ini tanpa mengira latar belakang dan lapisan umur. Penggunaan media sosial menjadi kewajipan sama ada ke arah memberi manfaat atau sebaliknya. Fenomena ini berkembang sangat pantas sehingga terlalu banyak maklumat yang dikongsi tidak pasti sama ada benar atau palsu. Inilah yang menjadi kebimbangan kepada kita hingga berlakunya perkara yang tidak diingini termasuklah fitnah di media sosial.

Fitnah di media sosial merupakan wabak yang semakin lama semakin membarah dalam kalangan masyarakat kita tidak mengira bangsa, agama mahupun warna kulit. Ianya disebarkan melalui perkongsian secara peribadi tetapi disulami dengan kebencian dan kemarahan lantas dizahirkan melalui media sosial. Ianya menjadi sangat bahaya kerana perkongsian tersebut tidak berasa dan boleh mencetuskan api kemarahan sehingga menyebabkan pergaduhan secara maya. Hasilnya cacian dan makian dengan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari seorang muslim hingga memberi persepsi buruk oleh masyarakat bukan Islam.

Terdapat firman Allah SWT dalam Al-Quran dan hadis yang menyatakan tentang fitnah dan keburukannya. Antara firman Allah SWT yang menyatakan tentang fitnah ialah:
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpa sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah,” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Definisi Fitnah

Fitnah dari segi bahasa ialah bencana, ujian dan cubaan. Dari segi istilah ulama adalah seperti yang didefinasikan oleh Jurjani iaitu perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, fitnah pula didefinisikan sebagai tuduhan, khabaran kisah dan lain-lain yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membencikan seseorang.

Fitnah secara umumnya merupakan satu bentuk komunikasi kepada satu pihak atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain. Berdasarkan atas fakta palsu yang dipengaruhi oleh sifat penghormatan, buruk sangka, obses, menjatuhkan atau menaikkan nilai reputasi seseorang atau sesuatu pihak.

Dalam al-Quran, perkataan fitnah disebutkan di 34 tempat dan digunakan untuk erti atau makna yang berbeza. Kitab-kitab hadis juga pada umumnya memasukkan bab tertentu tentang fitnah. Sebagai contoh, Kitab Sahih al-Bukhari ada memasukkan 78 hadis tentang fitnah.


Jenis-Jenis Fitnah Dalam Islam


Jenis yang pertama ialah fitnah syubhah. Fitnah syubhah merupakan fitnah paling berbahaya kerana kurangnya ilmu, ketika diiringi dengan niat buruk dan hawa nafsu maka timbullah fitnah besar dan keji. Contoh fitnah syubhah ialah kekafiran, kemunafikan, dan bidaah penyebab perpecahan.

Fitnah kedua ialah fitnah syahwat. Fitnah syahwat merupakan perbuatan yang dapat melemahkan dan mengikis iman seseorang disebabkan oleh hawa nafsu. Mereka yang terkena fitnah syahwat biasanya malas untuk beribadah serta tidak segan melanggar perintah Allah SWT dan mengerjakan apa yang dilarang. Hal ini disebabkan oleh hawa nafsu beserta dan hasutan dari iblis yang sentiasa mengiringi dan membuat iman semakin lemah. Umumnya, fitnah syahwat adalah segala sesuatu yang berhubung dengan dunia, kesenangan, dan yang membangkitkan hawa nafsu.


Faktor Berlaku Fitnah di Media Sosial

Pelbagai faktor yang mendorong berlakunya fitnah di media sosial. Antara faktor utama ialah dorongan sifat tamak, iri hati dan mementingkan diri sendiri. Individu yang menyebarkan fitnah menyebarkan cerita yang tidak benar tentang individu yang dibencinya bagi menjatuhkan individu tersebut dan terlalu mengikut perasaannya. Lebih-lebih lagi penggunaan media sosial tanpa had dan sempadan yang mudah diakses melalui gajet atau telefon pintar. Disebabkan terlalu mudah diakses, maka mereka mudah menyuarakan pendapat dan pandangan sesuka hati.

Antara faktor lain ialah wujudnya kemudahan internet seperti e-mel, mesej secara berkelompok atau berkomunikasi melalui forum. Melalui medium ini, maka lebih banyak fitnah dapat disebarkan. Fitnah yang disebarkan akan dilakukan secara serta-merta dan tersebar menjadi permasalahan sejagat. Contohnya ahli politik menggunakan internet dalam memperjuangkan kesinambungan agenda politik, menabur fitnah dan hasutan bagi melemahkan pihak lawan.

Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan ini ialah kurangnya kesedaran mengenai kesan menyebarkan fitnah atau berbaur hasutan khususnya golongan yang tidak berfikir secara matang dan tidak rasional. Mereka perlu menyedari bahawa dalam apa jua agama melarang perbuatan fitnah dan hasutan. Mereka yang menyebarkan fitnah bermaksud mereka yang tidak patuh kepada ajaran agama masing-masing.

Akhir sekali, faktor yang menyumbang kepada berlakunya fitnah di media sosial ialah tidak peka kepada isu sensitif yang boleh menyebabkan orang lain menyalah tafsir maksud yang ingin disampaikan. Contohnya, ahli perniagaan ingin mengaut keuntungan secara berlebihan dengan cara memburuk-burukkan produk orang lain. Dengan cara lain, pelanggan akan lari dan memilih produk yang jauh lebih baik.


Kesan Berlakunya Fitnah di Media Sosial

Fitnah merupakan perbuatan yang terkutuk dan dilaknat Allah SWT serta sangat dicela oleh setiap agama kerana menimbulkan pergaduhan dan ketidaksefahaman antara pihak yang terlibat. Akibatnya fitnah ini akan memberikan kesan yang sangat besar terutama kepada diri sendiri, keluarga, agama, masyarakat dan negara.

Kesan yang pertama ialah kepada individu. Orang yang melakukan fitnah biasanya untuk kepentingan dan kepuasan diri sendiri tanpa memikirkan keburukan dan kesan kepada orang lain. Nama baik dan air muka individu tersebut boleh tercemar dan tercalar apabila wujudnya fitnah yang dilemparkan terhadapnya dan boleh membawa keaiban. Hal ini menyebabkan wujudnya rasa kebencian dan permusuhan orang lain terhadap mangsa fitnah tersebut. Individu bukan sahaja berhadapan dengan cercaan dan pandangan serong malah reputasi dan kredibilitinya juga turut terjejas.

Kesan seterusnya ialah kepada keluarga. Perbuatan fitnah menyebabkan keluarga berada dalam situasi yang tidak tenteram, berantakan, timbul perasaan dendam dan mendorong ke arah pergaduhan serta pertelagahan. Lebih membimbangkan jika ianya berlarutan akan berlakunya kekasaran fizikal seperti pukul memukul hingga menyebabkan kematian.

Kesan yang lain ialah kepada agama. Sekiranya berlaku dalam kalangan umat Islam, maka penganut agama lain akan memandang serong dan hilang rasa hormat akan agama Allah SWT akibat perbuatan tersebut. Ini boleh mengakibatkan umat Islam akan dibuli, ditindas dan dipandang hina oleh mereka.

Kesan seterusnya ialah kepada masyarakat. Kesan ini boleh merosakkan hubungan persaudaraan dan perpaduan. Apabila ukhuwah dan semangat persaudaraan luntur, maka lenyap dan runtuhlah kebahagiaan dan kemanisan hidup bermasyarakat. Akhirnya kehidupan masyarakat akan berlaku huru-hara dan porak peranda akibat permusuhan.

Kesan yang terakhir ialah kepada negara. Fitnah mampu mengancam keselamatan negara apabila nama baik negara terjejas. Anasir-anasir fitnah yang berleluasa mampu menyebabkan keseimbangan dan keselamatan negara tergugat lantas mencetuskan pergolakan. Apabila salah faham akibat fitnah timbul seperti timbulnya provokasi sentimen perkauman dan keagamaan, suasana yang genting boleh mencetuskan peperangan dan pertumpahan darah. Kesan yang paling teruk kepada negara ialah boleh menjatuhkan ekonomi negara. Ini menyebabkan pelabur dan peniaga asing berasa takut untuk melabur di negara kita akibat ketidaktentuan ekonomi. Ianya juga turut memberi tempias kepada sektor pelancongan. Akhirnya ekonomi kita akan menjadi lumpuh.


Langkah Mengatasi Fitnah di Media Sosial

Isu fitnah di media sosial ini perlu diatasi dengan segera kerana impaknya sangat besar kepada semua golongan. Sehubungan itu, langkah bijak perlu diambil bagi membendung dan mengatasi budaya fitnah ini.

Antaranya ialah mewujudkan badan khas bagi menyelenggara atau menapis segala paparan di media sosial. Ini kerana media sosial menjadi medium utama untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya terbuka, bebas dan pantas berbanding media cetak. Langkah terkini daripada pihak kerajaan ialah mewujudkan saluran WhatsApp dan e-mel khas dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM) dalam menangani fitnah dan berita palsu di media sosial teruatama kandungan berunsur ‘3R’ iaitu Race, Religion dan Royalty.

Seterusnya, undang-undang perlu dikuatkuasakan dengan lebih ketat dan berkesan. Undang-undang tersebut bukan sekadar menyediakan hukuman berat terhadap pengfitnah malah mampu untuk mendidik orang lain agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita tidak benar kerana impaknya amatlah besar. Bak kata pepatah “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memberikan kesedaran kepada masyarakat akan kesan fitnah di media sosial. Alhamdulillah, baru-baru ini JAKIM telah melancarkan kempen kesedaran hentikan fitnah di media sosial dengan menampilkan beberapa selebriti terkenal seperti Shuib Sepahtu, Ryan Bakery dan Ustaz Hariri menerusi video klip. Kempen ini diadakan bertujuan mengajak masyarakat kembali kepada ajaran Islam dan nilai murni.


Cara Rasulullah SAW Hadapi Fitnah

Rasulullah SAW merupakan ikon dan suri tauladan yang terbaik bagi seluruh umat Islam di dunia. Walaubagaimanapun, Baginda tidak sunyi daripada difitnah bahkan jauh lebih berat berbanding kita. Akan tetapi, Rasulullah SAW tidak pernah menyimpan dendam dan Baginda menghadapi fitnah-fitnah tersebut dengan tenang berlandaskan ajaran Islam seperti al-Quran dan hadis.

Antara cara Rasulullah SAW menghadapi fitnah, pertama ialah hindari tuduhan yang bersifat prasangka. Ini kerana prasangka menjadi perhatian pihak lawan mahupun kawan. Sebaiknya kita menghindari perkara yang boleh menimbulkan prasangka buruk.

Kedua, Rasulullah SAW juga menyarankan agar janganlah menerima sesuatu isu tanpa ada bukti atau sokongan yang kukuh. Setiap berita yang tidak disertakan dengan bukti atau dalil haruslah ditolak oleh setiap umat Islam. Firman Allah SWT bermaksud :

“Mengapa mereka yang menuduh itu tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh karena mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah di sisi Allah SWT adalah pendusta.” (an Nur, 24:13).

Ketiga, janganlah kita membiarkan hawa nafsu mencampuri berita yang tidak benar. Ini menyebabkan seolah-olah kita turut terjerumus ke dalam lembah kesesatan. Al Muqrizi pernah meriwayatkan tentang dialog yang dituturkan oleh Zainab RA (isteri Rasulullah SAW) dengan Rasulullah SAW, di mana isteri yang baik budi itu mengatakan kepada suaminya, “Terpeliharalah kiranya pendengaranku dan penglihatanku. Aku tidak melihat pada Aisyah RA kecuali yang baik-baik saja. Demi Allah, aku tak pernah mengajaknya bicara dan aku memang benar-benar mendiamkannya, tetapi aku hanya mengatakan yang benar.” (Imta’ul Asma’ 1/208).

Sedangkan pada saat itu antara Zainab RA dan Aisyah RA sering terjadi persaingan untuk menarik hati Rasulullah SAW. Namun, hal itu tidak membuatkan Zainab RA iri hati dan mengikut hawa nafsunya dengan memburuk-burukkan atau berkata yang tidak benar tentang Aisyah RA.

Akhir sekali, janganlah membalas berita bohong dengan berita bohong yang lain dan janganlah membalas isu yang dusta dengan isu lain yang serupa. Orang yang difitnah itu pula hendaklah mampu menahan diri dari sifat marah atau berdendam. Jangan membiarkan lidahnya berbicara sesuatu yang boleh melanggar kehormatan orang lain sekalipun orang lain itu telah menganiaya dirinya sehinggalah terbukti dirinya benar dan tidak bersalah. Inilah sikap yang sangat penting yang perlu diterapkan dalam diri seseorang itu.


Kesimpulan

Kita sebagai umat Islam perlu menyedari bahawa melakukan dan menyebarkan fitnah adalah berdosa besar dan menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Walaupun penyampaian maklumat semakin senang dan mudah, ianya bukan alasan untuk kita menyebarkan fitnah sewenang-wenangnya.

Kita perlu menyedari bahawa diam itu lebih baik dan bercakap bila perlu serta menyebarkan maklumat yang bermanfaat sahaja. Kita hendaklah menjaga lisan dengan baik dan bijak supaya dilindungi dan diredhai Allah SWT di dunia dan akhirat.

Oleh itu, menjadi kewajiban setiap umat Islam untuk memastikan setiap berita yang diperoleh ditapis terlebih dahulu sebelum disebarkan seterusnya mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah dosa menfitnah.