Judul: Aspirasi Keluarga Malaysia Suatu Perkongsian
Kategori: Artikel
Muat Turun: ASPIRASI_KELUARGA_MALAYSIA_SUATU_PERKONGSIAN.pdf
Aspirasi Keluarga Malaysia Suatu Perkongsian
Dr. Khairul Anuwar Mustaffa
Pensyarah Kanan
Universiti Teknologi Mara (Uitm) Shah Alam

Bila disebut ‘keluarga’, nilai-nilai seperti pengorbanan, kepercayaan, kasih sayang dan keamanan pasti mengisi maksud disebalik perkataan ‘keluarga’ ini. Aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri, membawa satu harapan yang besar buat kita semua. Aspirasi ini digagaskan supaya kita semua dapat bersinergi sebagai ahli ‘Keluarga Malaysia’, bersama-sama membantu memulihkan negara agar kita dapat bangkit semula bagi menjadikan negara ini lebih sejahtera, maju, diberkati dan berpendapatan tinggi.

Aspirasi ‘Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera’ yang akan dibawa ini, lebih menarik jika kita melihatnya dari perspektif Maqasid Syariah. Konsep ini diperkenalkan sebagai panduan, supaya kita dapat bersama-sama merealisasikan aspirasi ini dengan berteraskan syarak. Maqasid syariah ini merupakan satu disiplin ilmu yang dikembangkan oleh para ulama, untuk kita memahami tujuan sesuatu pensyariatan itu diturunkan. Ringkasnya, maqasid syariah ini adalah satu bentuk dasar dan polisi dalam agama. Manakala elemen utama dalam Maqasid Syariah adalah bagi mencapai maslahah (kebaikan) dan mencegah mafsadah (keburukan).

Bagi merealisasikan aspirasi ini yang mempunyai nilai-nilai seperti keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, kita mesti mempunyai satu model pentadbiran yang boleh dicontohi dan terbukti berjaya membina masyarakat majmuk yang bertoleransi sehingga masyarakatnya dapat hidup aman damai. Setelah diteliti, diantara gagasan yang digunakan adalah gagasan Fiqh Ta’ayush (Fiqh Kebersamaan atau Co-Existence) yang merupakan satu bahagian fiqh yang mengkaji mengenai hukum-hakam berkaitan dengan interaksi sosial yang melibatkan manusia berbilang jantina, bangsa, agama dan negara untuk membangunkan kehidupan bersama secara harmoni.

Justeru, bagi memastikan aspirasi ini menjadi kenyataan, 5 inisiatif perlu diberi perhatian bersama iaitu:
  1. Pemantapan dari segi mental, jasmani dan rohani;
  2. Pemantapan sistem pendidikan islam;
  3. Pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam;
  4. Pemantapan institusi masjid dan surau;
  5. Pemantapan sosio-ekonomi ummah.

Dengan 5 inisiatif ini, diharapkan gagasan ‘Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera’ yang kita impikan dapat dibina dan seterusnya membentuk sebuah negara yang diberkati, aman dan makmur serta rakyatnya dapat hidup bertoleransi, saling menjaga sensitiviti dan tidak menimbulkan provokasi antara satu sama lain, sebagaiman al-Quran telah mengajar kita.