Sinopsis:
Tiada ada manusia yang tidak melakukan kesilapan, begitulah kata-kata yang sering didengar dan menjadi perbualan kita. Kesilapan yang berlaku harus diperbetulkan sama ada disedari atau tidak. Tugas kita semua "menyeru manusia ke arah kebaikan" sebagaimana firman Allah SWT yang mafhumnya, "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik..."
Bagaimana caranya dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik? Ikutilah huraian buku ini yang menjelaskan pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam menangani kesilapan seseorang. Sebenarnya ingat-memperingati, tegur-menegur, nasihat-menasihati dan sebagainya merupakan satu kebaikan yang tidak dapat dinafikan oleh semua pihak, malah memberi faedah yang cukup besar terhadap keimanan seseorang.
Kandungan buku ini membahaskan pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah SAW ketika memberi teguran terhadap seseorang dalam pelbagai kesilapan yang dilakukan semasa dalam keadaan keliru, jahil dan sebagainya. Rasulullah SAW telah memberi contoh teladan yang baik kepada seluruh umat khususnya umat di akhir zaman untuk mempraktikkan apa yang diajarkan dalam kehidupan seharian bermula dalam sebuah keluarga hingga dalam masyarakat.
Sebenarnya manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan, khususnya anak-anak yang sedang belajar, remaja yang sedang mencari jati diri dan orang dewasa yang sudah matang masih memerlukan bimbingan dalam bentuk teguran atau setidak-tidaknya nasihat- menasihati ke arah kebaikan supaya menjadi khair ummah (sebaik-baik umat).