LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PROGRAM OUTREACH RAKAN SETIA KOMUNITI PENGKALAN CHEPA KELANTAN
PADA 9 HINGGA 11 OKTOBER 2021

Bil.34/2021

  1. Bermula pada 9 hingga 11 Oktober 2021 ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama rakan strategik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) dan Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM), akan menganjurkan Program Outreach Rakan Setia Komuniti Pengkalan Chepa, Kelantan.

  2. Program yang julung kali dianjurkan ini akan disertai oleh Yang Berhormat Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan.

  3. Penganjuran program ini amat bertepatan dengan manifestasi Pelan Strategik JAKIM 2019-2025 Teras Strategik 4, iaitu Memantapkan Kefahaman dan Penghayatan Islam Secara Inklusif Bagi Melahirkan Masyarakat yang Berakhlak. Selaras dengan prinsip Maqasid Syariah yang bertujuan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sekaligus memenuhi Inisiatif Mantap Yang Berhormat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah PIAGAM C-19 Inisiatif 3 iaitu Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam.

  4. Pentadbiran mesra berasaskan Maqasid Syariah yang menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta merupakan teras dalam usaha kerajaan menyediakan keselesaan perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat, memberikan kemudahan tanpa mengetepikan kelompok minoriti dan berinteraksi dengan semua pihak. Oleh itu usaha melebar risalah menyantuni ummah ini tidak hanya terbatas kepada golongan tertentu sahaja, bahkan perlu meliputi pelbagai lapisan golongan dan komuniti Keluarga Malaysia.

  5. JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti telah mengadakan Program Rakan Setia Komuniti Orang Kena Pengawasan (OKP) dadah semenjak tahun 2011 lagi dimana pengisian program ini menitikberatkan pengisian dan pendekatan kerohanian yang dilaksanakan secara interaktif dan aktiviti berkumpulan. Sehingga kini, dianggarkan lebih 7000 peserta telah mengikuti program tersebut.

  6. Oleh kerana kita masih di dalam fasa Pelan Pemulihan Negara daripada pandemik Covid 19, program sedia ada telah diubahsuai mengikut ketetapan norma baru dengan mengambil pendekatan outreach  iaitu menziarahi sambil menyantuni klien. Namun begitu pendekatan yang sama digunakan dengan penghayatan agama terus diutamakan melalui sesi kaunseling,  khidmat nasihat dan bimbingan melalui kaedah Psikospiritual Islam dan disusuli dengan sumbangan.

  7. Program Outreach Rakan Setia Komuniti Pengkalan Chepa ini akan berlangsung selama 3 hari dan akan dibahagikan kepada 3 kumpulan kecil. Setiap kumpulan ini akan dianggotai oleh pegawai-pegawai dari JAKIM, AADK, JAHEIK, PEMADAM dan YIM yang akan turun menyantuni sebanyak 30 buah keluarga klien.

  8. Objektif program outreach ini diadakan adalah untuk memberi penerangan, kefahaman, penghayatan serta merungkai permasalahan semasa berkaitan isu-isu keagamaan, kekeluargaan, masa depan dan hala tuju hidup mereka seterusnya memupuk semangat kerjasama, toleransi dan mempunyai keyakinan yang tinggi dalam melahirkan idea yang bernas bagi memupuk generasi yang inovatif lagi beriman. Selain dari itu, kita ingin mendapatkan maklumbalas bantuan rawatan dan pemulihan berterusan yang diperlukan oleh klien bagi mengeluarkan mereka dari cengkaman najis dadah.

  9. Kita yakin bahawa gabungan Ilaj wa Shifa’ antara perubatan sains moden dan Islam amatlah bersesuaian bagi membimbing, merawat dan memulihkan jiwa golongan klien ini. Justeru, komuniti ini adalah golongan yang perlu diberi perhatian dan bimbingan daripada semua pihak bagi membina semula kehidupan agar mereka dapat pulih sepenuhnya serta mengembalikan keyakinan diri mereka dalam masyarakat.

  10. Dengan pelaksanaan program advokasi, intervensi dan pendidikan pencegahan kepada masyarakat secara berterusan khususnya kepada klien melalui pendekatan islamic spiritual diharapkan dapat membantu memantapkan kefahaman serta penghayatan Islam secara syumul seterusnya mampu merealisasikan hasrat melahirkan Keluarga Malaysia yang khaira ummah.

 
Sekian.
 
DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
08 Oktober 2021
01 Rabi’ulawal 1443H