LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

BERKENAAN

NASIHAT KEPADA PARA PENDAKWAH DAN PENCERAMAH AGAMA


Bil.39/2021

  1. JAKIM ingin mengucapkan terima kasih kepada para pendakwah dan penceramah agama di negara ini yang saban masa begitu aktif menyampaikan ilmu dalam mendidik umat ke arah yang lebih baik dan sempurna. Kewujudan pelbagai medium semasa khususnya media sosial turut memberi impak positif dalam merancakkan lagi program keilmuan dan dakwah. Perkara ini amat dipuji dan disanjung tinggi.

  2. Namun, dalam kerancakan aktiviti dakwah, JAKIM ingin menasihati semua pihak sama ada para asatizah (guru atau penceramah agama) dan seluruh lapisan masyarakat agar dapat menjaga adab dan disiplin ilmu dengan sebaik mungkin. Perkara-perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau hendaklah dielakkan. Selain itu, ilmu yang hendak disampikan juga perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam agar ianya tidak menimbulkan polemik berpanjangan. Perkara ini bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan umat Islam itu sendiri.

  3. Para asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah juga turut disarankan untuk mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah dari pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Walaupun tugas menyampaikan ilmu dan dakwah merupakan suatu amalan yang mulia, namun semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak.

  4. JAKIM juga ingin menasihati masyarakat khususnya umat Islam agar mendapatkan ilmu dari para ilmuan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu yang disampaikan. Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara, silalah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti.

  5. JAKIM memohon kerjasama dan sokongan dari semua pihak untuk sama- sama kita menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara. Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan kerana ia merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam.

  6. Lanjutan itu juga, JAKIM akan mengadakan Multaqa Daie Bersama YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 28 Oktober 2021 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Program yang menghimpunkan para asatizah dalam negara ini bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan hubungan antara ulama’ dan umara’ ke arah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera.

  7. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan program ini.



Sekian


DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
19 Oktober 2021