LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

BERKENAAN

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN JOHAN-JOHAN KEBANGSAAN (MTQJK)


Bil.40/2021

  1. Sukacita dimaklumkan, bahawa JAKIM akan menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan (MTQJK) yang akan berlangsung selama 5 hari bermula pada 15 hingga 19 Rabiulawal 1443H bersamaan 22 hingga 26 Oktober 2021 secara maya di Studio Utama Yusoff, dan Studio Mini Al-Qasas di Kompleks Islam Putrajaya dan 10 Studio RTM Negeri di seluruh negara. MTQJK ini akan disiarkan secara langsung di TV 1 pada 22, 24 dan 25 Oktober 2021 dan juga di TV OKEY pada 23 dan 26 Oktober mulai jam 9.00 hingga 10.30 malam.

  2. MTQJK ini merupakan program yang julung julung-kalinya diadakan sebagai alternatif kepada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1442H/2021M yang telah ditangguhkan berikutan situasi semasa peningkatan kes jangkitan COVID-19 dalam negara yang berada pada tahap membimbangkan.

  3. MTQJK merupakan kelangsungan kepada usaha menyemarakkan pembudayaan al-Quran dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama RTM, RTM Negeri-negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

  4. Ini menggambarkan komitmen pihak Kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca terhadap al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa dalam amalan kehidupan kita seharian. Penganjuran program ini juga mengambil semangat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

  5. MTQJK akan dirasmikan pembukaannya oleh YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 22 Oktober 2021 dan akan disempurnakan perasmian penutupannya oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 26 Oktober 2021.

  6. Seramai 26 orang Qari dan Qariah Johan-Johan Tilawah Kebangsaan dan jemputan khas yang mewakili semua negeri di Malaysia bakal menyertai acara ini. Program ini berkonsepkan persembahan bacaan al-Quran secara bertarannum oleh para Qari dan Qariah yang pernah menjadi Johan MTHQK pada tahun-tahun yang lalu dan program ini tidak melibatkan sebarang pertandingan.


Acara-Acara Menarik Sempena MTQJK

  1. Program turut dimeriahkan dengan penglibatan barisan artis hebat tanah air antaranya Kumpulan Rabbani, Far East, Inteam, Lah Ahmad dan lain-lain lagi. Penonton juga akan menyaksikan pengisian ibrah al-Quran yang mantap dan sudah pasti menyentuh perasaan menggunakan teknologi terkini Augmented Reality yang akan disampaikan oleh pegawai JAKIM Ustaz Mohd Hariri Mohd Daud dan Ustazah Nazirah Abu Bakar.


Amanat Dan Harapan JAKIM

  1. JAKIM mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga atas kerjasama strategik yang diberikan oleh pihak RTM, RTM negeri-negeri, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dalam menjayakan program ini. Semoga sumbangan ini dapat menjadi pemangkin mengimarah dan melebarkan risalah Islam di bumi tercinta ini.

  2. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan program ini.


Sekian

DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
21 Oktober 2021