jata negara small

KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)

BERKENAAN

PELAKSANAAN KAEDAH PENILAIAN KELAS AL-QURAN
DAN FARDU AIN TAHUN 2021

Tarikh   : 15 November 2021
Hari      : Isnin
Masa    : 7.00 hingga 8.30 Pagi
Tempat : Sekolah Integrasi Rendah Agama
               Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
               Saidina Uthman Bin Affan (SIRAJ SUBA)

Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 23 September 2021 yang lalu telah mengumumkan bahawa:

PENILAIAN KELAS AL-QURAN DAN FARDHU AIN TAHUN 2021 BAGI MENGGANTIKAN SUBJEK BERTULIS akan dilaksanakan serentak di seluruh negara pada 15 HINGGA 30 NOVEMBER 2021 berdasarkan MODUL PENILAIAN KELAS AL-QURAN DAN FARDHU AIN (MPKAFA).

Dalam tempoh penilaian ini, PdPR bagi murid tahun 5 dan tahun 6 hanya dikhususkan untuk pelaksanaan MPKAFA sahaja. Aktiviti penilaian bersepadu dan fleksible ini melibatkan semua guru KAFA di setiap premis KAFA yang berdaftar dan ia boleh dilaksanakan sama ada secara Dalam Talian (online), Luar Talian (offline) dan juga off-site.

Perubahan pelaksanaan yang bermula pada hari ini tidak akan menjejaskan persediaan dan tahap penguasaan murid-murid kepada subjek yang dipelajari.

Kaedah secara lisan ini memberi ruang dan pendekatan yang lebih luas kepada guru yang bertindak sebagai pemudah cara kepada calon dalam menghadapi MPKAFA.

Menyedari keperihatinan ibubapa, JAKIM telah menetapkan dan memberikan ruang masa yang secukupnya malah ibubapa boleh mendapatkan kebenaran dari pihak sekolah untuk menyelaraskan masa yang sesuai untuk diuji dan dinilai, namun ia perlu disesuaikan dengan sebaiknya.

Walaupun pada tahun ini, pelaksanaan dalam norma baharu, ia tidak menghalang seramai 464,244 orang calon telah berdaftar dan akan dinilai dalam tempoh 16 hari bermula pada hari ini.
Kerajaan melalui JAKIM sebelum ini telah menggunakan pelbagai saluran informasi bagi untuk memastikan maklumat dapat disampaikan dengan sebaiknya. JAKIM percaya semua lapisan masyarakat sedar akan kepentingan Pendidikan KAFA.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi pelaksana KAFA yang sentiasa memberikan kerjasama jitu dalam memastikan pelaksanaan MPKAFA ini berjalan dengan lancar. Saya juga ingin mengucapkan selamat menghadapi MPKAFA tahun 2021 kepada semua calon. Semoga semuanya dipermudahkan segala urusan.

Sekian.

YB SENATOR TUAN HAJI IDRIS BIN AHMAD
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
15 November 2021