LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

BERKENAAN

SIMPOSIUM PENDAKWAH DAN KEPIMPINAN ORANG ASLI ISLAM 2021

Bil.41/2021
  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan telah mengadakan Simposium Pendakwah Dan Kepimpinan Orang Asli Islam 2021 pada 25 November 2021 (Khamis) di Dewan Sheikh Daud al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Majlis perasmian simposium ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

  2. Program pada hari ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan mengiktiraf pendakwah dalam kalangan Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan pemimpin masyarakat Orang Asli dalam kalangan Orang Asli Islam yang banyak menyumbang dan membantu di dalam pelaksanaan kerja dakwah di perkampungan Orang Asli di seluruh tanah air. Selain itu, ianya juga untuk mengiktiraf surau-surau di perkampungan Orang Asli yang aktif di dalam aktiviti pengimarahan hingga menjadikan surau bukan sahaja sebagai tempat untuk beribadah malahan boleh menjadi pusat aktiviti bagi komuniti setempat.

  3. Objektif penganjuran program ini adalah untuk memupuk budaya toleransi dan bekerja sama antara kepimpinan masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada Batin / JKK MPPKOA bersama Penggerak Masyarakat Orang Asli yang bertugas di Kampung Orang Asli. Dengan kerjasama yang baik antara kedua-dua entiti ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang harmoni sekaligus membangunkan masyarakat Orang Asli itu sendiri.

  4. Melalui simposium yang dilaksanakan secara hibrid ini, para peserta yang terdiri daripada Penggerak Masyarakat Orang Asli seramai 242 orang dan pemimpin masyarakat Orang Asli telah didedahkan dengan slot pengisian oleh YB Senator Dato’ Isa bin Ab. Hamid, Senator Masyarakat Orang Asli dengan tajuk ”Kepimpinan Melalui Teladan” dan sebuah forum yang bertajuk ”Bulat Air Kerana Pembentung” yang akan dikupas oleh Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM dan Timbalan Pengarah JAKOA Perak.

  5. Bagi menghargai sumbangan pemimpin masyarakat Orang Asli Islam serta mengiktiraf pengimarahan surau dan masjid di Kampung Orang Asli, JAKIM melalui Bahagian Dakwah dengan sukacitanya telah menganugerahkan sijil dan wang tunai kepada masjid/ Surau Jumaat dan surau yang layak. Penerima anugerah ini telah dinilai oleh panel dan jawatankuasa yang dilantik berdasarkan pengimarahan, kebersihan dan keceriaan surau. Semoga dengan pengiktirafan seperti ini dapat memberi semangat kepada masyarakat dan penduduk kampung yang sudah islam untuk sentiasa mengimarahkan rumah Allah.

  6. Anugerah yang telah disampaikan adalah seperti berikut :

    1. Anugerah Masjid/ Surau Jumaat Kampung Orang Asli Terbaik

    2. Anugerah Surau Kampung Orang Asli Terbaik

    3. Anugerah Tokoh Kepimpinan Orang Asli

    4. Anugerah PMOA Qudwah Peringkat Negeri dan Kebangsaan

    5. Meraikan PMOA Yang Bersara

  7. Sehubungan itu, mohon jasa baik pihak media untuk membuat hebahan penganjuran program ”Simposium Pendakwah dan Kepimpinan Orang asli 2021” ini kepada Keluarga Malaysia.

 
Sekian

HAJI ZAKARIA BIN OTHMAN
Ketua
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
25 November 2021