jata negara small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

MAJLIS PELANCARAN IHTIFAL KELAS AL QURAN DAN FARDU AIN (KAFA)  PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2023

 

TARIKH : 7 APRIL  2023

TEMPAT : HOTEL KLANA RESORT, SEREMBAN NEGERI SEMBILAN



Bil. 5/2023



1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan pada hari ini melancarkan Ihtifal Kelas Al Quran Dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023. Program ini bakal dilaksanakan pada 25-27 Ogos 2023 di Negeri Sembilan. Ihtifal Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan pada tahun ini merupakan kali yang ke lapan

2. Ihtifal KAFA Kebangsaan merupakan aktiviti tahunan yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pendidikan. Pihak yang terlibat di dalam program ini ialah pelajar-pelajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan (JPPIK).

3. Objektif pelaksanaan Ihtifal KAFA Kebangsaan ini ialah untuk membina keyakinan pelajar KAFA seawal peringkat kanak-kanak untuk kearah pembentukan kemenjadian murid yang seimbang dalam bidang akademik dan keperibadian diri, serta memberi ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar KAFA dan menyerlahkan bakat dan kemampuan mereka.

4. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan akan menjadi tuan rumah pada tahun 2023 ini melibatkan penyertaan dari 14 buah negeri dengan keseluruhan melebihi 300 orang yang terdiri daripada kontinjen, hakim, pegawai teknikal dan urusetia yang akan berkampung di bumi adat perpatih.

5. Ihtifal Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) merupakan sebahagian daripada aktiviti kokurikulum dan latihan pengukuhan kepada murid-murid KAFA dalam menguasai kurikulum KAFA JAKIM berasaskan elemen kesenian dan kreativiti. Sebanyak 6 acara dipertandingkan bagi kategori lelaki dan perempuan iaitu tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, bercerita kisah al-Quran, khat, nasyid dan jawi.

6. Signifikan pelaksanaan Ihtifal Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) adalah untuk menjadikan murid-murid KAFA mampu bersaing di peringkat kebangsaan sehingga antarabangsa. Hakikatnya telah ada dalam kalangan murid KAFA yang telah mewakili negeri dan negara di peringkat antarabangsa sebagai contoh adik Ahmad Azfar bin Hj Azraei dari Melaka yang menjadi johan acara Tilawah Al-Quran pada Ihtifal KAFA pada tahun lepas, kemudiannya dipilih mewakili negara, seterusnya menjadi johan di peringkat antarabangsa.

7. Unjuran jadual pertandingan bermula dengan pemilihan peserta dan pertandingan di peringkat sekolah pada bulan Mei dan Jun, bulan Julai pertandingan di peringkat negeri, manakala di peringkat kebangsaan adalah pada bulan Ogos iaitu pada pada 25-27 Ogos 2023 di Politeknik Nilai, Negeri Sembilan.

8. Mohon jasa baik rakan media untuk membuat liputan yang sewajarnya berkaitan program ini.

 

Sekian terima kasih.

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

7 April 2023