jata negara small

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

 

BERKENAAN

 

PROGRAM TADARUS PERDANA

“AL-QURAN PEMBIMBING BELIA AL-FALAH, PENERAJU NEGARA MADANI


Bil. 6/2023


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Universiti Malaya menganjurkan Program Tadarus Perdana : “Al-Quran Pembimbing Belia Al-Falah, Peneraju Negara Madani” pada 9 April 2023 bersamaan 18 April 1444H bertempat di Auditorium, Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya. Program ini disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

2. Program ini adalah merupakan program tahunan yang diadakan sempena sambutan Nuzul al-Quran pada 17 Ramadhan 1444H. Program ini telah menggariskan 3 objektif seperti berikut :-
           i.     Memperkasa keutuhan jati diri belia Islam untuk menjadi generasi yang kalis masa hadapan (future proof) berteraskan Syariah Islamiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui pendekatan al-Quran
           ii.    Melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
           iii.   Melahirkan pelajar yang dapat menghayati dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan harian untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.

3. Program ini telah disertai oleh 330 orang mahasiswa dalam kalangan pembimbing tadarus quran, peserta program dan juga urus setia program. Peserta ini terdiri daripada 10 institusi pengajian tinggi awam seperti berikut :-

  1. Universiti Malaya
  2. Universiti Teknologi MARA
  3. Universiti Kuala Lumpur
  4. Universiti Kebangsaan Malaysia
  5. Universiti Putra Malaysia
  6. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
  7. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  8. Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur
  9. Institut Kemahiran Baitulmal
  10. Darul Quran, JAKIM

4. Program ini bermula pada jam 12.30 tengahari dengan pendaftaran peserta dan persiapan untuk solat zohor berjemaah. Program diteruskan dengan Forum Bicara Quran yang menampilkan 2 orang panel iaitu Tuan Haji Amirahman bin Abas, Johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa dan Puan Hajah Nazirah binti Abu Bakar, Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM, dan dikendalikan oleh seorang moderator iaitu Tuan Haji Hamdan bin Muhamad, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, JAKIM. Forum ini membincangkan berkaitan al-Quran dan belia.

5. Program Tadarus Quran bermula selepas solat Asar berjemaah dengan dibimbing oleh 30 orang pelajar Darul Quran yang membimbing 30 kumpulan bagi membaca 30 juzuk quran. Majlis Khatam al-Quran turut diadakan selepas semua kumpulan selesai bacaan quran. Majlis berbuka puasa turut disediakan kepada para peserta dengan cara makan berdulang mengikut sunnah nabi Muhammad s.a.w. Program diakhiri dengan jamuan moreh selepas solat Isya’ dan solat Terawikh secara berjemaah.

6. JAKIM amat berharap dengan adanya penganjuran seumpama ini di pelbagai lokasi dengan kolaborasi atau inisiatif pelbagai pihak, para belia masa kini dapat meningkatkan semangat cintakan al-Quran dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan mereka. Membaca al-Quran juga bukan sahaja diganjari dengan pahala dan kebaikan yang banyak, malahan dapat membimbing belia al-falah (berjaya) sebagai pelapis yang mampu memacu negara madani ke arah kejayaan.

7. Mohon jasa baik rakan media untuk membuat liputan yang sewajarnya berkaitan pelaksanaan program ini.


Sekian terima kasih.

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

9 April 2023