KENYATAAN MEDIA BERSAMA
YB. MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
DAN
YB. TIMBALAN KETUA MENTERI 1 PULAU PINANG
BERKENAAN
MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1444H/2023M (MTHQK)
Bil. 14/2023
Negeri Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2023M (MTHQK) yang dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula pada 11 hingga 16 Jun 2023 bersamaan 22 hingga 27 Zulkaedah 1444H (Ahad hingga Jumaat). Majlis akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang.
Seperti yang semua maklum, MTHQK adalah program tahunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dianjurkan bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri. Penganjuran MTHQK pada tahun dibuat bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. Di kesempatan ini JAKIM ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kesudian menjadi tuan rumah kepada acara MTHQK 2023.
Perasmian MTHQK 2023 akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 11 Jun 2023 (Ahad) jam 8.55 malam di Dewan Utama PICCA. Manakala Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah pula akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 16 Jun 2023 (Jumaat), 8.00 malam di tempat yang sama.
MTHQK 2023 dijangka akan melibatkan penyertaan seramai 112 peserta daripada seluruh negeri. Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan (8) peserta iaitu dua (2) peserta dalam pertandingan Tilawah Al-Quran manakala enam (6) peserta dalam pertandingan Hafazan Al-Quran.
Penglibatan seluruh negeri dalam pertandingan tahun ini menjadikan jumlah perserta Tilawah adalah seramai 29 orang; iaitu 14 orang Qari dan 14 orang Qariah dan seorang Johan Menunggu Qari.
Hafazan pula bakal menyaksikan seramai 80 orang perserta, dengan para huffaz lelaki dan wanita akan bertanding dalam 3 kategori seperti berikut iaitu:
- Kategori Pertama = 10 Juzuk (14 lelaki dan 13 wanita)
- Kategori Kedua = 20 Juzuk (14 lelaki dan 14 wanita)
- Kategori Ketiga = 30 Juzuk (13 lelaki dan 12 wanita)
Kesemua peserta berumur di antara 10 hingga 25 tahun.
Seramai 32 hakim terlibat iaitu 17 orang untuk menilai bacaan para peserta Tilawah. Manakala para huffaz pula akan dinilai oleh 15 hakim. Jemaah hakim akan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM. Aspek-aspek bacaan yang akan dinilai oleh para hakim ini ialah kelancaran bacaan (fasohah), hukum tajwid, suara, persembahan dan tarannum.
Johan peserta Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun ini akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan pada 19 hingga 24 Ogos 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Penganjuran MTHQK oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri setiap tahun merupakan satu manifestasi komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkasakan syiar Islam di negara ini. Penganjuran MTHQK bermatlamat melahirkan generasi qurani di Malaysia yang memahami intipati Kitab Suci ini untuk diaplikasikan dalam amalan kehidupan seharian. Pembinaan asas keimanan yang kukuh dan pembangunan rohani ummah yang berpandukan kitab suci Al-Quran membawa kepada pembinaan generasi Al-Falah yang merupakan elemen penting dalam membangunkan kegemilangan tamadun ummah yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri menerusi landasan aspirasi 'Membangun Malaysia Madani'.
Penganjuran MTHQK tahun ini adalah kali yang ke-65 semenjak pertama kali dianjurkan pada 1960. Dengan sejarah yang panjang ini, JAKIM komited untuk memastikan MTHQK kekal relevan dan segar bagi menarik minat semua golongan masyarakat Islam Malaysia.
Dalam hal ini, JAKIM akan terus memastikan prestij dan kualiti penganjuran MTHQK sentiasa dipertingkatkan selaras dengan perubahan dan kehendak semasa. Semenjak tahun 2020, penganjuran MTHQK telahpun menggunapakai teknologi-teknologi terkini untuk melancarkan pengurusan MTHQK serta memberikan lebih daya tarikan kepada acara ini. Beberapa penambahbaikkan dalam format pertandingan juga akan dilaksanakan dalam MTHQK 2023 untuk memberikan lebih cabaran kepada para peserta yang bertanding. Antaranya dengan mewajibkan peserta Tilawah membaca dua (2) lagu wajib secara berturut-turut dan menyelesaikan bacaan dengan sekurang-kurangnya empat maqamat dalam masa 10 minit. Untuk peserta Hafazan pula mereka diwajibkan untuk menghabiskan sekurang-kurangnya 10 baris dalam masa 2 minit.
JAKIM dengan ini menjemput orang ramai hadir menyaksikan dan memeriahkan MTHQK 2023 di Dewan PICCA bermula 11 hingga 16 Jun 2023 dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 juga akan bersiaran secara langsung di saluran
TV1 RTM,
TV Al-Hijrah, radio-radio milik RTM,
radio IKIM FM,
WEB TV JAKIM (
www.jakim.tv) dan di akaun-akaun media sosial rasmi JAKIM.
JAKIM juga memohon jasa baik rakan-rakan media untuk mewar-warkan penganjuran majlis ini dan hadir membuat liputan acara seperti tarikh dan masa yang dinyatakan di atas.
Sekian, terima kasih.
YB. SENATOR DATO' SETIA DR. HAJI MOHD NA'IM BIN MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
YB. DATO’ IR HJ. AHMAD ZAKIYUDDIN BIN ABD RAHMAN
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
23 MEI 2023
Maklumat tambahan:
- Hadiah wang tunai RM20,000.00 kepada johan tilawah dan johan hafazan 30 juzuk. Kadar baru bermula tahun 2023. Pada tahun 2022 johan mendapat RM15,000.00
- Terdapat beberapa orang peserta muda yang akan bertanding:
Bil
|
Negeri
|
Nama
|
Kategori
|
Umur
|
1
|
Kelantan
|
Putri Auni Khadijah binti Mohd Hanif
|
30 juzuk
|
15 tahun 11 bulan
|
2
|
Selangor
|
Wan Busyra binti Wan Mohamad Noor
|
30 juzuk
|
15 tahun 9 bulan
|
3
|
Sabah
|
Fadhil bin Sabran
|
30 Juzuk
|
15 tahun 4 bulan
|
4
|
Perak
|
Nur Hamizah binti Mohammad Shafawi
|
20 juzuk
|
15 tahun 5 bulan
|
5
|
Kelantan
|
Wiedaad binti Izzaddiin
|
10 juzuk
|
10 tahun 11 bulan
|
6
|
Johor
|
Siti Hawa Zulaikha binti Akmal
|
10 juzuk
|
14 tahun 4 bulan
|
7
|
Terengganu
|
Muhammad Amenullah bin Ab. Rahman
|
10 juzuk
|
14 tahun 1 bulan
|
- Terdapat seorang peserta OKU
Bil
|
Negeri
|
Nama
|
Kategori
|
Umur
|
Jenis OKU
|
1
|
Sabah
|
Muhammad Iman Izzuddin bin Jamaludin
|
20 juzuk
|
22 tahun
|
Penglihatan
|
2.
|
Kelantan
|
Qayyim Nizar bin Sarimi
|
Tilawah
|
24 tahun 8 bulan
|
Penglihatan
|
- Bekas johan Qari MTHQK 2017, Encik Wan Fakhrul Razi bin Wan Mohamad mewakili Wilayah Persekutuan pada tahun ini merupakan peserta yang paling berusia iaitu 51 tahun 2 bulan.
- Johan Menunggu Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022 di Johor mempertahankan gelaran pada tahun ini. Aiman bin Ridhwan.