jata negara small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

SEMINAR PENGHAYATAN SAHIH AL-BUKHARI DAN PELUNCURAN
MAJLIS HADIS SAHIH AL-BUKHARI PERINGKAT KEBANGSAAN 
TAHUN 1445H / 2023M




Bil. 19/2023

1. Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menganjurkan Seminar  Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan pada hari ini 22 Julai 2023 (Sabtu) bersamaan 4 Muharram 1445H bermula pada jam 2.00 petang di Masjid Putra, Putrajaya yang  dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri.

2. Sesuai dengan semangat tahun baru 1445 Hijrah. Program ini adalah program pembukaan yang amat penting dalam melakar pengukuhan Islam demi membangun Malaysia MADANI. Program ini diadakan untuk mempromosi pembudayaan ilmu dan tradisi Islam melalui kitab Sahih Al-Bukhari dengan membawakan tokoh-tokoh ulama tempatan dan antarabangsa.

3. Seperti sedia maklum, pada tahun ini telah diumumkan penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. Maka manfaat ilmu dapat diambil daripada tokoh antarabangsa melalui program seumpama ini berdasarkan sumbangan besarnya dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

4. Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari ini dimulakan dengan Syarahan Pengenalan Penghayatan Sahih Al-Bukhari daripada Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan pada 22 Julai 2023 jam 2.35 petang. Diikuti dengan Syarahan Madkhal Ila Sahih Al-Bukhari oleh Sheikh Dr. Usamah Sayyid Al-Azhari yang merupakan Ulama al-Azhar, Mesir dan Penasihat Kepada Presiden Republik Arab Mesir (Hal Ehwal Agama) pada 3.35 petang.

5. Kemuncak Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari ini adalah Perasmian dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan serta syarahan ilmu dan doa yang disampaikan oleh Tokoh Ma’al Hijrah Antarabangsa iaitu Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad, Mufti Besar India. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada beliau seorang tokoh ilmuan ternama di dalam dan luar negara.

6. Seramai lebih 3000 orang tetamu hadir yang terdiri daripada Ketua-ketua Jabatan/Agensi Kerajaan, pegawai-pegawai kanan Kerajaan, NGO Islam, para ilmuan dan cendikiawan Islam serta orang awam.

7. Harapan saya, semoga program ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat. Seiring dengan tema Ma’al Hijrah pada tahun ini “Perpaduan Teras Malaysia Madani” program kefahaman dan mengangkat penguasaan ilmu hadis ini dapat membantu mempertautkan umat Islam dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW, menjalinkan rasa kecintaan kita terhadap ilmu al-Quran dan hadis serta para ulamak dalam bidang-bidang berkenaan.

Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
22 Julai 2023M / 4 Muharam 1445H