jata negara small

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

ISTIADAT KONVOKESYEN DARUL QURAN JAKIM KE-31


Bil. 20/2023

Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM Ke 31

 
1.   Darul Quran JAKIM meraikan seramai 657 orang graduan (dari semua program pengajian yang ditawarkan) dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM Ke-31 yang berlangsung pada hari ini 27 Julai 2023 di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan.

2.    Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM Ke-31 ini disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
 
3.   Perincian jumlah graduan berdasarkan program-program pengajian yang ditawarkan oleh Darul Quran adalah seperti berikut:

  1. 39 orang penerima Sijil Tamat Pengajian daripada Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Dengan Kepujian Secara Kerjasama Dengan USIM;
  2. 473 orang graduan daripada Program Diploma Tahfiz al-Quran & al-Qiraat;
  3. 128 orang graduan daripada Program Pensijilan Tahfiz al-Quran bagi kolaborasi JAKIM-IIUM (International Islamic University Malaysia), JAKIM-UNITEN (Universiti Tenaga Nasional), JAKIM-UoC (University of Cyberjaya), JAKIM-UTeM (Universiti Teknikal Malaysia Melaka), JAKIM-PSA (Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) dan JAKIM-IPGKPI (Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam);
  4. 5 orang graduan Program Sijil Asas Tahfiz Darul Quran; dan
  5. 12 orang perantis Program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Bidang Pengurusan Masjid.
4.   Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua graduan yang bergraduasi dalam Istiadat Konvokesyen ke-31 ini.

5.   Sejak penubuhannya pada tahun 1966 hingga 2023, Darul Quran telah melahirkan seramai 11,128 orang graduan huffaz melalui semua program pengajian yang ditawarkan.

6.    Dalam kalangan para alumni Darul Quran, mereka bukan sahaja menceburkan diri sebagai agamawan bahkan ada dalam kalangan mereka yang menceburkan diri sebagai golongan profesional seperti doktor, jurutera, ahli farmasi, arkitek, akauntan dan lain-lain. Golongan hufaz profesional ini berjaya dilahirkan melalui program tahfiz profesional atau program pensijilan tahfiz kolaborasi antara JAKIM dengan IPT-IPT lain.

7.     Kerajaan melalui JAKIM kekal komited dalam memperkasakan pendidikan tahfiz agar seiring dengan pendidikan arus perdana. Ia bagi mendepani cabaran bidang pendidikan masa kini supaya output atau modal insan yang dilahirkan kelak mencapai standard dan kualiti yang disasarkan.

8.   Semua langkah yang diambil ke arah merealisasikan hasrat tersebut merupakan usaha kerajaan dalam membantu pelaksanaan penjanaan program pendidikan al-Quran khususnya bidang tahfiz agar selaras dengan misi gagasan Malaysia Madani untuk menjadikan negara lebih makmur berteraskan lima nilai Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama (Al-Falah) yang menekankan kepada pemerkasaan ilmu, integriti, itqan, istiqamah dan ikhlas.

Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
22 Julai 2023M / 4 Muharam 1445H