jata negara small
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN


VIDEO TULAR OLEH CORDOVA MEDIA BERKENAAN LGBT



Bil. 23 / 2023
  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerima aduan awam berkenaan video tular yang dipaparkan oleh Cordova Media berkenaan beberapa buku yang mendorong anak-anak agar terpengaruh dengan LGBT. Setelah diteliti, video berkenaan didapati diambil di luar negara iaitu di Negara Ireland.

  2. Buat masa ini, meskipun tiada buku berkenaan seperti yang dipaparkan dalam video tersebut di kedai-kedai buku tempatan, namun pihak JAKIM mengambil serius berkenaan sebarang usaha untuk mempromosi buku berkenaan dalam kalangan masyarakat di negara ini khususnya umat Islam.

  3. Pihak JAKIM sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dalam memantau sebarang terbitan bahan bercetak yang mempromosi LGBT. Buku-buku berkenaan boleh dianggap melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan dan kepentingan awam. Selain itu, kandungan penerbitan buku yang cuba mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia adalah melanggar sensitiviti agama, undang-undang dan budaya di negara ini.

  4. Justeru, JAKIM menasihatkan orang ramai khususnya golongan ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak serta tidak membeli bahan-bahan bacaan yang mempunyai unsur-unsur negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam. Pemantauan dan pencegahan yang konsisten adalah amat penting bagi mengelakkan anak-anak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral yang boleh merosakkan masa depan mereka.

 
Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD. YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

15 Ogos 2023