jata negara small
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PRA PELANCARAN SISTEM PENGURUSAN HALAL MALAYSIA (MyHMS)


Bil. 25/2023

  1. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pengurusan Halal (BPH) akan menganjurkan Majlis Pra Pelancaran Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MyHMS) pada 30 Ogos 2023 ini bertempat di Dewan Jamuan, Aras 9, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya, No 23, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3, 62100 Putrajaya.

  2. Majlis penuh sederhana ini akan dilancarkan oleh Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta bakal melibatkan kehadiran tetamu-tetamu jemputan dari persatuan-persatuan industri, wakil-wakil agensi di bawah Yang Berhormat Menteri (YBM) dan pihak media.

  3. Penganjuran majlis pra pelancaran tersebut merupakan satu inisiatif bagi mempromosi dan membuat pengenalan awal mengenai produk serta perkhidmatan yang tersedia untuk dimanfaatkan oleh pihak industri pensijilan halal Malaysia. Menerusi pembangunan Sistem MyHMS ini, pihak industri dapat menyedia dan membangunkan dokumen jaminan dan kawalan halal dalaman secara atas talian demi mematuhi prosedur Pensijilan Halal Malaysia dengan cepat, mudah dan berkesan.

  4. Majlis yang bakal berlangsung sekitar 1 (satu) jam ini akan diisi dengan beberapa pengisian penting termasuk ucapan YBM, Montaj Soft Launch MyHMS dan sesi soal jawab bersama pihak industri dan media. Untuk rekod, Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MyHMS) ini telah dibangunkan oleh syarikat Dermaga Oil & Gas Sdn. Bhd. yang merupakan rakan strategik JAKIM dalam membangunkan aplikasi telefon pintar SmartHalal sebagai medium semakan status produk halal atas talian.

  5. Sistem MyHMS ini juga merupakan satu sistem bersepadu pensijilan halal Malaysia yang dibangunkan bagi memperkasa pengurusan halal Malaysia agar lebih pantas, efisyen dan mudah untuk dicapai dan diimplementasi secara komprehensif khususnya kepada pihak industri yang berminat dengan pensijilan halal Malaysia.

  6. Justeru, JAKIM mengalu-alukan kehadiran pihak media dan persatuan industri serta agensi bagi membuat liputan dan rakaman serta penyertaan sepanjang Majlis berlangsung seterusnya menzahirkan komitmen Jabatan ini untuk terus memperkasa dan memelihara imej pensijilan halal Malaysia agar kekal sebagai peneraju pensijilan halal bertaraf dunia.

 
Sekian.

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
12 Safar 1445H / 29 Ogos 2023M