jata negara small
KENYATAAN MEDIA

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)

BERKAITAN


MAJLIS IHTIFAL ILMI SEKOLAH MENENGAH AGAMA MALAYSIA
(MIISMAM) KALI KE-9 TAHUN 2023

Bil. 32/2023

  1. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Kali Ke-9 Tahun 2023 pada 22 hingga 24 September 2023 bersamaan 6 hingga 8 Rabiulawal 1445H (Jumaat - Ahad) di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMAMAIWP).

  2. MIISMAM merupakan acara dalam kokurikulum peringkat kebangsaan melibatkan murid-murid Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

  3. Program ini diadakan bagi mencungkil bakat murid-murid untuk diketengahkan dan digilap melalui acara yang dipertandingkan dalam MIISMAM. Ini kerana pembangunan bakat murid-murid di sekolah tersebut menjadi salah satu elemen penting dalam mengembangkan potensi murid yang mempunyai kekuatan seimbang dari segi rohani dan jasmani. Sehubungan itu, sistem pendidikan di negara ini perlu mempunyai keupayaan menghasilkan modal insan berkualiti serta berkemahiran tinggi, bagi memenuhi kehendak industri pada masa hadapan.

  4. Pelaksanaan MIISMAM Peringkat Kebangsaan juga merupakan sebahagian daripada aktiviti kokurikulum dan latihan pengukuhan kepada murid-murid Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang berasaskan elemen kesenian dan kreativiti. Sebanyak 11 acara dipertandingkan bagi kategori lelaki dan perempuan serta kategori terbuka iaitu Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Syarahan Bahasa Melayu, Syarahan Bahasa Inggeris, Syarahan Bahasa Arab, Khat, Kitab Turath, Perbahasan ala Parlimen, Nasyid, Kitabul Maqal dan Kuiz.

  5. Program MIISMAM begitu signifikan dengan Teras Kepimpinan Berdaya Cipta di dalam Pelan Transformasi al-Falah yang antaranya memeta fokus pengukuhan kepimpinan generasi muda, komuniti dan pemerkasaan kesenian Islam. Selain itu dapat mengenengahkan murid-murid peringkat menengah yang berpotensi besar sebagai bakal da’ie dan pemimpin yang kompeten di masa hadapan.

  6. Secara tidak langsung, hal ini membuktikan bahawa murid-murid dalam aliran agama di institusi pendidikan Islam yang bernaung di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) merupakan murid-murid yang sangat hebat dan mempunyai potensi besar untuk digilap seterusnya bersinar menjadi barisan pelapis kepada kepimpinan negara pada masa yang akan datang.

  7. MIISMAM menjadi salah satu platform untuk anak-anak di 220 buah sekolah agama di bawah seliaan dan kawalan Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk bersaing secara sihat dalam menggilap bakat dan potensi diri anak-anak dalam pelbagai bidang ilmu dan kemahiran. Dengan harapan anak-anak yang telah berjaya mendapat tempat di dalam apa juga pertandingan yang di sertai agar dapat terus mencari ruang dan peluang untuk mengasah bakat ke peringkat seterusnya. Generasi inilah yang akan menjadi tonggak kepimpinan masa hadapan negara Malaysia yang kita cintai ini.

          Sekian, terima kasih.


DATO’ SETIA DR. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)

24 September 2023