JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
MAJLIS PERUNDINGAN ISLAM
-
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam, Majlis Perundingan Islam (MPI) pada 9 Januari 2018 (Selasa) bertempat di Hotel Marriot, Putrajaya. Ucaptama perasmian penutup akan disempurnakan oleh YAB Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Islam.
-
Majlis Perundingan Islam (MPI) ditubuhkan pada 13 Mac 2009 bertitik tolak daripada penubuhan Badan Perundingan Islam (BPI) pada tahun 1982 dimana ia merupakan sebuah jawatankuasa pemikir yang boleh memberi nasihat kepada kerajaan. Pelaksanaan dan penganjuran Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam, Majlis Perundingan Islam untuk Siri Keempat ini adalah susulan daripada Multaqa Ekonomi bagi Siri Pertama, Multaqa Perundangan & Politik bagi Siri Kedua dan Multaqa Pendidikan dan Sosial bagi Siri Ketiga yang turut dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
-
Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam, Majlis Perundingan Islam ini merupakan program teras anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menjadi medium bagi menghimpunkan sekumpulan pemikir untuk berbincang mengenai dakwah dan pemikiran Islam khususnya umat Islam di tanah air malah dengan adanya platform seumpama ini secara tidak langsung berfungsi sebagai wahana yang menyatukan umat Islam di negara ini.
-
Penganjuran Multaqa Siri Keempat ini selari dengan tema Transformasi Dakwah dan Pemikiran Islam dan ianya ibarat himpunan Majlis Syura para Ulama dan Umara yang mampu membawa manfaat besar kepada ummah dan Negara apabila setiap anggotanya memainkan peranan sebagai pemikir, pencetus dan pembawa resolusi yang bernas kepada dua tajuk penting ini serta isu-isu yang berkaitan dakwah dan pemikiran Islam.
-
Malah, Multaqa ini sebenarnya adalah ruang yang mewujudkan medium perbincangan yang lebih tuntas dan telus bagi meneliti, mencari dan mengenal pasti formula terbaik dan mencadangkan penyelesaian terhadap pelbagai isu-isu permasalahan berkaitan bidang dakwah negara umat Islam di Malaysia.
-
Di samping itu juga, Multaqa ini dirancang supaya menjadi think-tank yang membantu Kerajaan dengan memberikan idea dan cadangan yang bernas dalam melaksanakan agenda pembangunan Negara menurut kehendak syariat Islam malah ia juga dapat menilai dan menimbang sebarang cadangan ke arah membentuk dasar dan falsafah bagi meningkatkan pengamalan dan penghayatan Islam dalam usaha pembangunan dan pentadbiran Negara.
-
Multaqa ini akan berlangsung mulai jam 2.00 petang dan dijangka berakhir pada jam 5.00 petang yang akan dihadiri oleh 600 orang ahli secara keseluruhannya melibatkan penyertaan dari pelbagai agensi strategik dalam bidang dakwah di Malaysia. Selain ahli panel tetap MPI yang terdiri daripada ahli perundangan, ahli politik, Jabatan Agama Islam Negeri/ Majlis Agama Islam Negeri, Ketua-ketua Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, NGO Muslim, persatuan, pewakilan pelajar IPT, selebriti Dakwah, Ketua Media Islam, Majlis Perpaduan Ummah, Pegawai Penyelaras Masjid Daerah, Alumni Jakim, Sukarelawan Sosial Islam, Majlis Belia Malaysia, NGI Dakwah Islam, Ahli Akademik (yang terlibat dengan bengkel Kluster Dakwah) dan sebagainya.
-
Pengisian menarik yang disusun menerusi Multaqa ini adalah Sidang Pleno : Panel Dakwah yang bertajuk “Sinergi Dakwah dan Kepimpinan Perisai Kemaslahatan Ummah” yang akan dikupas oleh YBhg. Prof. Dato Dr. Zulkiple Abd Ghani; Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia. Manakala tajuk “Dakwah Melalui Media Baharu Peluang dan Kekangan” akan disampaikan oleh YBhg. Dato Dr. Haji Mohd. Izhar Ariff bin Mohd. Kassim; Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya diteruskan dengan Sidang Pleno : Panel Pemikiran Islam bertajuk Revitalisasi Pengajian Aqidah Sunniyah Bagi Menghadapi Cabaran Pemikiran dan Kerohanian Semasa” akan disampaikan oleh YBrs. Ustaz Mohd. Nasir bin Mohd. Tap; Pensyarah Kanan Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar Al-Hikmah dan sidang khas bertajuk Isu dan Cabaran Terkini Pengurusan Sekolah Tahfiz/Agama yang akan dikupas oleh YB Senator Dato Dr. Asyraf Wajdi bin Dato Dusuki; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Acara kemuncak Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam pada kali ini adalah ucaptama Perasmian Penutup oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
-
Semoga dengan perlaksanaan Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam, Majlis Perundangan Islam ini akan dapat menjadi pemangkin ke arah menyelesaikan pelbagai isu dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam di negara ini bagi meningkatkan kualiti hidup ke arah menghadapi cabaran yang mendatang.
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kompleks Islam Putrajaya
9 Januari 2018