jata negara small
 

KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)

BERKENAAN

PROGRAM MAHRAJAN KOMUNITI HIJRAH MADANI

 
Bil. 24/2024





  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi Bahagian Pemulihan al-Riqab dan Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) menganjurkan Program Mahrajan Komuniti Hijrah Madani pada 19 hingga 21 Julai 2024 bersamaan 13 hingga 15 Muharram 1446H bertempat di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang Selangor. Program ini melibatkan seramai 90 orang komuniti hijrah yang sedang berusaha menjalani kehidupan yang lebih baik sebagai seorang hamba Allah SWT.
  2. Objektif utama program ini adalah untuk membangkitkan kesedaran kerohanian kepada peserta untuk menginsafi diri tentang hakikat sebenar sebagai hamba Allah SWT, menarik minat peserta terhadap kepentingan mendekati Al-Quran dalam kalangan komuniti hijrah.
  3. Program yang julung kali diadakan ini adalah bagi mencungkil bakat para peserta dengan menyertai beberapa acara yang dipertandingkan seperti pertandingan azan, hafazan, tazkirah dan nasyid. Di samping itu program ini juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan jenazah dan kaedah sembelihan
  4. JAKIM juga telah mendapat kerjasama yang terbaik dari NGO - NGO Komuniti Hijrah antaranya seperti Pertubuhan Usrah Fitrah Klang, Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS), Pertubuhan Hijrah Republique, Pertubuhan Nur Muaqobah, PKEMAS, Pertubuhan Cahaya Mentari, One Khalifah dan lain-lain pertubuhan dalam menjayakan dan memastikan kehadiran peserta-peserta ke Program Mahrajan Komuniti Madani ini.
  5. Justeru, adalah diharapkan agar NGO-NGO Komuniti Hijrah ini akan sentiasa kuat dan semakin progresif dalam mengenal pasti dan membantu mereka yang berhasrat untuk berubah ke jalan yang lebih baik. Semoga program Mahrajan Komuniti Hijrah Madani ini mampu menjadi pemangkin perubahan kepada para peserta ke arah hidup yang lebih baik dan selari dengan tuntutan Syariat.

Sekian.

YB SENATOR DATO’ SETIA DR. HAJI MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
21 Julai 2024