jata negara small
 

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

MENJAWAB KENYATAAN SITI KASSIM DALAM CHANNEL YOUTUBE THE ZAID IBRAHIM

 
Bil. 26/2024


1. JAKIM mengambil perhatian terhadap penyebaran video Siti Kassim yang menyentuh tentang beberapa peranan dan fungsi JAKIM.

2. Dakwaan beliau bahawa YAB Perdana Menteri pada hari ini telah menempatkan pegawai JAKIM di agensi-agensi Kerajaan yang menurut beliau tidak pernah dilakukan oleh Kerajaan sebelum ini adalah tidak tepat sama sekali. Perjawatan Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM telah diwujudkan di kementerian atas dasar keperluan pengurusan hal ehwal Islam di kementerian selaras dengan pelaksanaan Dasar Penerapan Nilai Murni semenjak awal tahun 80 an lagi. Dasar tersebut kemudiannya dikenali dengan nama Dasar Penerapan Nilai Islam Dalam Perkhidmatan Awam (1985) dan Etika Kerja Islam (1987).

3. Penempatan pegawai JAKIM bermula pada tahun 1982 sebagai Atase di London dan Indonesia. Seterusnya penempatan di Jabatan Pertanian, Jabatan Penjara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk beberapa agensi Kerajaan yang lain.

4. Pada tahun 2001, Pekeliling Am Kerajaan berkaitan Garis Panduan Bagi Mengadakan Ceramah Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Perkhidmatan Awam dilancarkan. Bagi tujuan pengukuhan, pada tahun 2007 Kerajaan telah memperkenalkan pula Pendekatan Islam Hadhari. Bagi melancarkan pelaksanaannya, pegawai JAKIM telah ditempatkan di semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Persekutuan termasuk beberapa agensi perkhidmatan di peringkat Negeri.

5. Kerajaan sentiasa memelihara dan melindungi agama Islam serta kesuciannya selaras dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan menurut Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

6. Manakala berkaitan dengan isu RUU 355 yang telah ditimbulkan, JAKIM juga telah perjelaskan perkara ini dalam pelbagai platform. Sesungguhnya usaha untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] telah dilaksanakan sejak tahun 2004 lagi. Cadangan dasar pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2022. Walau bagaimanapun, cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 tidak sempat dibentangkan di Parlimen berikutan perubahan Kerajaan semasa Pilihanraya Umum yang ke-15.

7. Pada masa ini, Kerajaan masih meneruskan usaha untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dengan tujuan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah selaras dengan hasrat untuk menaik taraf Mahkamah Syariah melalui penggubalan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia

Sekian

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
7 Ogos 2024