jata negara small
 

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

KONVENSYEN MADANI: KE ARAH PENGHAYATAN DAN PEMBUDAYAAN NILAI DALAM ERA DIGITAL TAHUN 2024

Bil. 27/2024


Selangor, 29 Ogos 2024 (Khamis) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri menganjurkan Konvensyen Madani: Ke Arah Penghayatan dan Pembudayaan Nilai Dalam Era Digital Tahun 2024 bertempat di Dewan Utama Mentari 1, Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Sepang Selangor.

Objektif program ini adalah untuk:

i. menterjemah aplikasi Maqasid Syariah dan nilai-nilai Islam dalam dasar-dasar Kerajaan yang strategik dalam pelbagai aspek kehidupan berasaskan kepentingan dan orientasi maslahat rakyat;

ii. membangunkan tadbir urus dan tatakelola yang baik (effective governance) dengan mempraktikkan nilai-nilai yang baik dalam pengurusan dan pentadbiran termasuk kecekapan, keadilan, integriti dan kelestarian sumber daya untuk membangunkan negara MADANI;

iii. memberikan penekanan kepada pengukuhan nilai-nilai murni yang unggul dan adab dalam diri individu dan organisasi ke arah membangunkan perkhidmatan awam khususnya dan masyarakat amnya ke arah pembentukan Malaysia MADANI sejajar dengan arus perkembangan teknologi digital dan komunikasi pada masa ini.

Program ini merupakan salah satu daripada program yang dirancang dalam melaksanakan Inisiatif Pembangunan Nilai-MADANI. Inisiatif ini mengandungi dua teras iaitu Teras Pengukuhan Dasar-dasar Negara dan Teras Pembangunan Insan. Insiatif ini meliputi program-program merentas kementerian dan agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri. Inisiatif ini telah dimasukkan dan dilaporkan dalam Kerangka Strategik Malaysia MADANI (KSMM) yang diurus setiakan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan dengan itu, ia merupakan pelengkap terhadap Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI (Al-Falah) 2023 – 2027 (PTF) kerana program-program pengukuhan nilai turut dirancang untuk pemerkasaan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama dan juga kumpulan sasarannya.

Teras Pembangunan Insan dirancang ke arah menangani pelbagai isu yang timbul termasuklah kerenggangan hubungan masyarakat, kebejatan sosial, kesenjangan ekonomi, kemelut perubahan iklim, ketidaksamarataan agihan kekayaan dan ketempangan keadilan sosial yang berpunca daripada kerapuhan elemen nilai, akhlak dan sikap dalam pelbagai peringkat. Teras ini tidak hanya tertumpu kepada transformasi dasar-dasar Pembangunan negara dan jentera Kerajaan semata-mata. Malah, Pembangunan nilai insan akan dipergiat dalam kalangan masyarakat meliputi segenap lapisan masyarakat seperti kanak-kanak, belia dan dewasa.

Oleh itu, bagi merealisasikan inisiatif tersebut, JAKIM telah membangunkan Modul Pembangunan Insan Madani yang merupakan satu pendekatan komprehensif bertujuan untuk membentuk individu dan masyarakat khususnya penjawat awam yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam dan menjunjung tinggi prinsip-prinsip keadilan, kesejahteraan dan kemanusiaan. Modul ini mengandungi tiga (3) program pembangunan insan, iaitu Program Nilai Insan, Program Nilai Taqwa dan Program Nilai Akhlak.

Dalam mengharungi ledakan teknologi pada masa kini, penggunaan media digital memainkan peranan penting dalam membentuk nilai dan keperibadian seseorang itu. Justeru, JAKIM juga telah membangunkan Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu bertujuan memberikan panduan kepada pempengaruh, pencipta kandungan, pendakwah, penggiat seni, dan orang awam dalam menentukan kesesuaian kandungan media baharu menurut ajaran Islam Ahli Sunnah wal-Jamaah. Panduan ini juga berfungsi sebagai asas rujukan untuk agensi penerbitan, penapisan, dan individu yang terlibat dalam menghasilkan karya kreatif, memastikan kandungan yang diterbitkan mematuhi akidah dan syariat Islam.

Justeru, sebagai usaha untuk mewujudkan masyarakat yang menghayati nilai-nilai madani, hari ini Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melancarkan Gagasan Kalimah Tayyibah bagi mengajak kita semua untuk bermula dengan mengungkapkan ucapan-ucapan yang baik. Nilai kalimah tayyibah sangat mendalam dalam konteks Islam yang merujuk kepada "perkataan yang baik" atau "kalimat yang baik". Penghayatan Kalimah tayyibah merupakan asas utama yang diajarkan di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Majlis Pelancaran Awal (soft launch) Modul Pembangunan Insan Madani dan Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu serta Penerapan Gagasan Kalimah Tayyibah turut diadakan sempena Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Madani: Ke Arah Penghayatan dan Pembudayaan Nilai Dalam Era Digital Tahun 2024.

Konvensyen yang dianjurkan ini adalah salah satu program bersemuka yang dirancang untuk mencapai tujuan tersebut. Konvensyen ini menghimpunkan penjawat awam, NGO, para karyawan dan pencipta kandungan digital (content creator) bertujuan untuk menyuburkan pemahaman nilai berteraskan Maqasid Syariah. Majlis ini disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
29 Ogos 2024