jata negara small
 

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

KONVENSYEN KELAS AL-QURAN DAN FARDU AIN (KAFA) PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-2 TAHUN 2024

 

Bil. 28/2024


  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) menganjurkan Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan Kali ke-2 Tahun 2024 pada 2 September 2024 (Isnin) bertempat di Dewan 2020, Kangar Perlis Indera Kayangan. Titah perasmian konvensyen akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Konvesyen ini adalah kali kedua diadakan selepas konvensyen KAFA Kebangsaan Tahun 2023 kali pertama di Negeri Melaka.
     
  2. Pelaksanaan konvensyen ini bertujuan untuk menghimpunkan dan menyantuni warga KAFA dalam kalangan pegawai-pegawai Agensi Pelaksana KAFA, Penyelia dan Guru-guru yang merupakan entiti yang sangat penting dalam pelaksanaan KAFA di peringkat akar umbi. Tanpa peranan yang dimainkan oleh mereka ini sudah pasti KAFA tidak akan berada sehingga ke tahap ini.
     
  3. Oleh itu, bagi memastikan peranan dan tanggungjawab dilaksanakan dengan lebih efektif perlu wujudnya kerjasama di semua peringkat dalam hierarki pelaksanaan program KAFA bagi mencapai objektif yang telah digariskan. Konvensyen ini juga adalah insiatif bagi menzahirkan keprihatian JAKIM dan Agensi Pelaksana sebagai peneraju dan penyelaras pembangunan pendidikan Islam Kebangsaan.
     
  4. Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 Tahun 2024 diadakan ini melibatkan penyertaan 1500 orang dalam kalangan penyelia dan guru KAFA dari seluruh negara di samping kehadiran ketua-ketua dan pegawai-pegawai agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta rakan-rakan media yang akan membawa beberapa objektif signifikan demi memastikan gagasan Malaysia MADANI mampu diterjemahkan kepada semua warga pengurusan KAFA.
     
  5. Antara acara menarik dalam konvensyen ini adalah Persembahan Tilawah al-Quran daripada Murid KAFA Negeri Perlis, Penyampaian Anugerah dan Penghargaan Kepada Guru KAFA, Sesi Bersama Bank Islam Malaysia Berhad, Perkongsian berkaitan Peranan Pentaksiran Pendidikan Islam Dalam Membentuk Kemenjadian Murid Yang Holistik dan sesi bersama Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin , Mufti Negeri Perlis berkaitan Penerapan Konsep Al-Falah Dalam Pendidikan Islam
     
  6. Objektif Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 Tahun 2024 ini adalah seperti berikut:
  • Memperkasa pelaksanaan program KAFA secara holistik di seluruh negara.
  • Memberi peluang kepada kepimpinan tertinggi JAKIM dapat bertemu dan menyampaikan amanat kepada pegawai-pegawai Agensi Pelaksana Negeri, Penyelia, Pentadbir Premis dan Guru KAFA seluruh negara.
  • Menjelaskan Hala tuju dan isu-isu semasa program KAFA.
  • Mengukuhkan hubungan kerjasama strategik dengan Agensi pelaksana KAFA ke arah kesejahteraan ummah dengan memantapkan dasar dan tadbir urus program KAFA
Sekian.

DR HAJI RUSLAN BIN SAID
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
2 September 2024