KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKAITAN
MULTAQA MURABBI INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM (IPI) PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2024
Bil. 38/2024
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Pelaksanaan Multaqa Murabbi Institusi Pendidikan Islam (IPI) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024. pada 5 Oktober 2024 (Sabtu) bertempat di Auditorium Kompleks Pusat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Perasmian akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
2. Penganjuran Multaqa Murabbi IPI merupakan medan untuk mencetuskan kebijaksanaan baru (new wisdom) yang relevan dengan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin institusi pendidikan bagi mendepani cabaran masa kini. Multaqa ini juga sebagai satu wadah perkongsian ilmu pengetahuan dan kerjasama yang dapat memberi impak kepada peningkatan kompetensi seterusnya dapat menerajui IPI ke arah kecemerlangan.
3. Selain itu multaqa ini akan menghimpunkan dan menyantuni para murabbi dalam kalangan para pentadbir premis IPI, Guru-guru Sekolah Agama, Tahfiz, Pondok dan guru KAFA yang merupakan entiti yang sangat penting dalam pelaksanaan pendidikan Islam di negara ini. Tanpa peranan yang dimainkan oleh mereka ini sudah pasti pendidikan Islam tidak akan berada sehingga ke tahap ini.
4. Oleh itu, bagi memastikan peranan dan tanggungjawab dilaksanakan dengan lebih efektif Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) telah memperuntukan jumlah yang besar kepada IPI bagi meningkatkan kemudahan dan infrastruktur premis IPI sedia ada. Peruntukan ini juga telah memberikan keselesaan kepada semua warga IPI dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran.
5. Multaqa Murabbi Institusi Pendidikan Islam (IPI) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 diadakan ini melibatkan penyertaan 1000 orang dalam kalangan pentadbir premis IPI, Guru-guru Sekolah Agama, Tahfiz, Pondok dan guru KAFA dari seluruh negara di samping kehadiran ketua-ketua dan pegawai-pegawai agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta rakan-rakan media yang akan membawa beberapa objektif signifikan demi memastikan gagasan Malaysia MADANI mampu diterjemahkan kepada semua warga IPI.
6. Antara pengisian di dalam multaqa ini para peserta akan diberikan pendedahan mengenai Pengurusan Budaya Sekolah Cemerlang: Aspirasi Pemimpin, Para Guru & Komuniti dan Pengurusan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Selenggara, Perana Murabbi Ummah dalam Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Naik Taraf Kepada Institusi Pendidikan Islam yang masing-masing akan disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Mahzan Awang Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Dr. Sa’adi bin Awang Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan JAKIM. Selain itu penyampaian cek cura Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Selenggara Naik Taraf IPI turut dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Persekutuan kepada IPI dan para murabbi ummah.
7. Objektif Multaqa Murabbi Institusi Pendidikan Islam (IPI) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 adalah seperti berikut:
- a) Menjelaskan isu-isu semasa yang melibatkan pengurusan pendidikan.
- b) Wadah kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertemu dan menyampaikan amanat kepada Murabbi IPI.
- c) Mengukuh hubungan kerjasama strategik antara JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri yang terlibat dalam pengurusan IPI.
8. Impak dari pelaksanaan Multaqa Murabbi IPI Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 adalah boleh menambah baik tadbir urus, mendukung akauntabiliti dan ketelusan dalam berperanan sebagai penggerak utama dalam pembangunan pendidikan Islam. Ianya juga untuk menjadikan penyampaian perkhidmatan para murabbi lebih cekap dan yang diyakini dan dipercayai oleh masyarakat Malaysia.
Sekian.
Sekian.
DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
2 Rabiul Akhir 1446H / 5 Oktober 2024M