jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKAITAN

WORLD QURAN SYMPOSIUM 2024

 

 

Bil. 43/2024
bismillah 2
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah

1. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan World Quran Symposium 2024 pada 10 Oktober 2024 (Khamis) jam 8.00 pagi sehingga 1.30 petang di World Trade Centre, Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64 Tahun 1446H/2024M. Tema program ini adalah “Transformasi Ummah Melalui Kemukjizatan Al-Quran”.

2. Ucapan perasmian program tersebut akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan ucapan aluan akan disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam program ini satu ucaptama akan disampaikan oleh TYT Sheikh Dr Sameh bin Ahmad Khalid Athamneh, Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-64 yang bertajuk Kelebihan Membaca Al-Quran dan Tidak Meninggalkannya.

3. Pengisian utama program ini adalah seperti berikut :-

     a. Pembentangan Kertas :
         Tajuk: Al-Quran Melestari Tamadun dan Kemanusiaan
         Oleh :
         YBrs. Profesor Dr. Jasser Auda, Profesor Pelawat, Universiti Islam
          Antarabangsa Malaysia

     b. Sesi Forum: Tajuk: Al-Quran dan Kesejahteraan Tamadun Insan
         Panel Pertama:
         YBhg. Prof. Dato' Dr. Muhammad Nur bin Manuty
          Pengerusi, Institut Kefahaman Islam Malaysia
         Panel Kedua:
         YBhg. Datuk Prof. Dr. Azizan binti Baharuddin
         Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI)
         Panel Ketiga:
         YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah
         Naib Canselor, Universiti Islam Antarabangsa Selangor

4. Objektif pelaksanaan World Quran Symposium 2024 adalah untuk memupuk persekitaran masyarakat yang cintakan al-Quran melalui penyelidikan dan pembangunan terhadap kandungan al-Quran dalam mentadbir tata kelola kehidupan sebagai individu dan ummah yang bertamadun. Di samping itu juga ia bertujuan untuk meningkatkan penghayatan masyarakat tentang kepentingan membaca, memahami dan mengamal melalui ibrah ayat-ayat suci al-Quran yang memfokuskan ke arah kelestarian negara dan melalui program ini juga diharap dapat merealisasi pembudayaan menaakul melalui perbahasan berkaitan al-Quran yang disampaikan oleh para ilmuan bagi kemajuan ummah dan negara yang berilmu serta sejahtera.

5. Program ini dihadiri oleh Ketua-ketua Jabatan, Pegawai Kanan Kementerian dan agensi Peringkat Persekutuan dan Negeri, Institusi Pengajian Tinggi, ilmuan dan ulama, pakar dalam bidang al-Quran, pelajar-pelajar dalam kalangan generasi muda, wakil-wakil NGO dan orang awam.

6. Program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada semua pihak untuk menghayati dan mengukuhkan penghayatan terhadap kemukjizatan al-Quran serta menterjemah usaha murni ini untuk kesejahteraan dan kepentingan umat Islam di negara masing-masing.

7. Orang ramai adalah dijemput hadir ke simposium ini


Sekian, terima kasih.

DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
10 Oktober 2024M / 7 Rabiul Akhir 1446H