KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKAITAN
VIDEO TULAR DI MEDIA SOSIAL MELIBATKAN SEORANG PENDAKWAH DAN SEKUMPULAN PARA PELAJAR DALAM SEBUAH MAJLIS YANG MENGALUNKAN BAIT TERTENTU DALAM BAHASA ARAB
Bil. 45/2024
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah
1. Susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini berkaitan sebuah video tular di media sosial melibatkan seorang pendakwah dan sekumpulan para pelajar dalam sebuah majlis yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab, JAKIM telah selesai menyiapkan laporan lengkap tentang isu tersebut.
2. Berkaitan video tersebut, ia menunjukkan sekumpulan pelajar dalam satu majlis sedang mengalunkan qasidah di hadapan guru mereka. Qasidah tersebut didakwa mengandungi bait-bait ayat dalam Bahasa Arab yang memuji guru mereka secara keterlaluan. Secara asasnya, hukum asal memuji seseorang adalah harus dengan syarat pujian itu pada perkara yang benar dan bukannya dusta.
3. Bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini secara tuntas, JAKIM telah menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah selaku pihak autoriti agama di negeri Kedah untuk tindakan susulan.
4. JAKIM berharap dengan pemakluman ini dapat meredakan isu tersebut dan tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat. JAKIM juga dari semasa ke semasa sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat Islam berkaitan kefahaman akidah yang sahih berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah selari dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Sekian, terima kasih.
Dato Dr. Sirajuddin Suhaimee
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
10 Oktober 2024