KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKAITAN
BELANJAWAN 2025 : SYIAR ISLAM TERUS DIPERKASAKAN DI BAWAH GAGASAN MALAYSIA MADANI
Bil. 46/2024
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah
1. Pada hari ini YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah membentang Belanjawan 2025: Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat. YAB Perdana Menteri secara tuntas telah menzahirkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Madani dalam memperkasakan syiar Islam di negara ini selaras dengan kedudukan Islam dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”
2. JAKIM selaku agensi penyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan amat menghargai keprihatinan YAB Perdana Menteri yang telah mengumumkan peruntukan secara keseluruhan sebanyak RM2 bilion untuk pengurusan hal ehwal Islam. Jumlah ini adalah meningkat sebanyak RM0.1 bilion berbanding tahun 2024. Sebahagian dari peruntukan tersebut adalah untuk memperkasa Institusi Pendidikan Islam.
3. Bagi memperkasakan agenda pendidikan Islam, Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk menyelenggara prasarana institusi pendidikan Islam JAKIM seperti Institusi Pondok Berdaftar, Sekolah Tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat.
4. Dalam aspek persijilan halal, Kerajaan telah menambah 100 orang juruaudit JAKIM bagi tujuan mempercepat urusan pengeluaran Sijil Halal Malaysia.
5. Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan sumbangan khas sebanyak RM500 untuk menghargai sumbangan besar lebih 70 ribu para Imam, Bilal, Tok Siak, Noja, Marbut, Guru KAFA dan Guru Takmir yang melibatkan peruntukan RM35 juta. Pada masa sama, Kerajaan bersetuju untuk menambah kuota Guru KAFA sebanyak 1,500 orang selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak.
6. Kerajaan juga begitu prihatin dengan penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran JAKIM dengan meningkatkan kadar wang saku penuntut sebanyak RM100.
7. Semoga peruntukan yang disediakan ini mampu meningkatkan kualiti umat Islam di negara ini. JAKIM juga mengucapkan sekalung penghargaan buat YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri atas pembentangan Belanjawan 2025.
Sekian, terima kasih.
DATO’ DR SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
18 Oktober 2024 bersamaan 15 Rabiul Akhir 1446H