jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA


JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKAITAN

CADANGAN KERAJAAN NEGERI UNTUK MEWAJIBKAN PENGUSAHA PREMIS MAKANAN DAN MINUMAN MEMILIKI SIJIL HALAL SEBELUM MEMPERBAHARUI LESEN PERNIAGAAN

Bil. 50/2024

bismillah 2

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

1. Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] memperuntukkan di bawah seksyen 28 dan 29 mengenai pewujudan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Perintah ini dikuatkuasakan bagi mengawal semua perkara yang berkaitan dengan halal di negara ini. Perenggan 3 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, memberi kuasa kepada JAKIM dan MAIN/JAIN sebagai pihak berkuasa berwibawa untuk memperaku mana-mana makanan atau barang-barang atau perkhidmatan yang berkaitan dengannya adalah halal.

2. Permohonan pensijilan halal Malaysia yang dilaksanakan oleh JAKIM dan MAIN/JAIN pada masa ini masih bersifat sukarela. Ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia, dan tidak ada mana-mana undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon pensijilan halal.

3. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2024 bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dilaksanakan oleh JAKIM dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) adalah bersifat sukarela. Dasar ini terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia serta perundangan yang berkuat kuasa. Malah, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang sijil melalui tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.

4. JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri sentiasa bertindak aktif menggalakkan pengusaha memohon SPHM dan dalam masa yang sama, menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi pembimbing di peringkat persekutuan dan negeri. Ini adalah kerana sebagai pemegang SPHM, ia akan memberi jaminan kualiti kepada produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan dan nilai tambah kepada perniagaan dalam memperluaskan pasaran.

5. Berhubung dengan tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman memiliki SPHM adalah antara usaha promosi bagi meningkatkan bilangan pemegang SPHM di bawah pentadbiran PBT berkenaan.

6. Dalam masa yang sama JAKIM berharap agar penjelasan yang tuntas dan menyeluruh dapat diberikan oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan pelaksanaan dasar baharu ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang ramai.

Sekian, terima kasih.


DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
29 Disember 2024 / 27 Jamadilakhir 1446 Hijrah