jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

KEPUTUSAN MESYUARAT JEMAAH MENTERI MENGENAI CADANGAN PELAKSANAAN GARIS PANDUAN BAGI MAJLIS MELIBATKAN UMAT ISLAM
DI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM

Bil. 05/2025

bismillah 2
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari 2025 yang bersetuju agar JAKIM memainkan peranan dalam memberi nasihat dan bimbingan kepada umat Islam mengenai kepentingan menjaga akidah, selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai hormat, ihsan, dan kesejahteraan bersama.

2. Sejajar dengan kenyataan media YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, JAKIM percaya bahawa kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara melalui Jawatankuasa Harmoni perlu terus diperkasakan. Usaha ini bertepatan dengan tekad kerajaan untuk membina masyarakat yang bersatu padu dalam kepelbagaian, selari dengan prinsip MADANI yang berteraskan perpaduan, saling menghormati, serta keadilan sosial.

3. Malaysia ialah sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Justeru, perbezaan kepercayaan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perpaduan nasional. Sebaliknya, dengan pendekatan berasaskan ilmu, kebijaksanaan, dan dialog yang harmoni, kita dapat membina masyarakat yang lebih inklusif dan saling memahami.

4. JAKIM komited untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuh keharmonian dan kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan yang bersifat inklusif serta berlandaskan prinsip Malaysia Madani demi kemakmuran dan kestabilan negara.



Sekian, terima kasih.

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
7 Februari 2025 / 8 Sya’ban 1446 Hijrah