
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
KAEDAH PENENTUAN AWAL ZULHIJAH DAN AIDILADHA DI MALAYSIA 1446H/2025M
Bil. 26/2025

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
1. Mesyuarat Majlis Raja-Raja Malaysia Kali ke-164 yang bersidang pada 3 Februari 1994 telah bersetuju bahawa kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia adalah berpandukan rukyah dan hisab. Keputusan ini dibuat berdasarkan pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-30. Kaedah ini kekal dilaksanakan sehingga ke hari ini dan mencerminkan komitmen negara terhadap prinsip keilmuan dan kesepakatan ulama.
2. Penentuan awal Zulhijah 1446H/2025 akan dilaksanakan bermula dengan cerapan hilal rasmi oleh Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri yang diketuai oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri masing-masing pada petang 27 Mei 2025 bersamaan 29 Zulkaedah 1446H, sepertimana yang ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataannya pada 17 Mei 2025. Cerapan hilal Zulhijah 1446H akan dilakukan di 29 lokasi cerapan rasmi di seluruh negara.
3. Kaedah semasa yang digunakan dalam penentuan awal bulan hijri di Malaysia adalah berpandukan kepada kriteria Imkanur Rukyah, yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali ke-257 pada 24 dan 25 November 2021. Kriteria ini menetapkan bahawa ketika matahari terbenam, ketinggian hilal mestilah tidak kurang dari 3° dari ufuk dan jarak lengkung (elongasi) antara Bulan dan Matahari tidak kurang dari 6.4°. Kaedah ini telah berkuat kuasa sejak tahun 1443H (2022).
4. Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri akan mengemukakan laporan kenampakan hilal kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas selesai melaksanakan cerapan. Laporan tersebut seterusnya akan disembah untuk perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum pengisytiharan rasmi permulaan Zulhijah dan tarikh Hari Raya Aidiladha diumumkan kepada rakyat.
5. Justeru itu, kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia adalah berdasarkan cerapan hilal yang dilakukan di dalam negara, dan tidak tertakluk kepada keputusan cerapan hilal di negara lain. Pendekatan ini mencerminkan prinsip kedaulatan ilmu, keluhuran institusi, dan kesatuan umat, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan tadbir urus berteraskan nilai ihsan, integriti dan kebijaksanaan syariah.
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
26 Mei 2025M / 28 Zulkaedah 1446H