
KENYATAAN MEDIA
BERKENAAN
PERTEMUAN MABIMS KALI KE – 21
DAN PELANCARAN RANCANGAN STRATEGIK MABIMS
2026 - 2030
19 OKTOBER 2025M / 27 RABIULAKHIR 1447H
1. Pertemuan Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-21 telah diadakan pada hari Ahad, 19 Oktober 2025M bersamaan 27 Rabiulakhir 1447H. Pertemuan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Malaysia; Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam; Yang Terhormat Bapak Prof. Dr. KH. Nasaruddin Umar, MA. Menteri Agama Republik Indonesia; Yang Berhormat Prof. Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, merangkap Menteri Negara Kanan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura serta Yang Berhormat Neak Okhna Datuk Dr. Othsman Hassan, Menteri Kanan, Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kerajaan Kemboja selaku negara pemerhati.
2. Selain Pertemuan Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-21 dan Mesyuarat SOM kali ke- 49, pelbagai aktiviti sampingan telah diadakan iaitu:
2.1Forum Perdana Ehwal Islam Serantau;
2.2 Program Komuniti ‘Semanis MABIMS, Seharum Serantau’;
2.3 Melaka International Halal Festival (MIHF’25);
2.4 MABIMS Halal Summit 2025; dan
2.5 Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal MABIMS.
3. MABIMS turut melancarkan Rancangan Strategik (RS) MABIMS 2026 – 2030 yang memperbaharui RS MABIMS 2021 – 2025. MABIMS berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai sebelum ini, terutamanya dalam aspek pelaksanaan dasar, pengurusan institusi agama, penyelarasan takwim hijri dan pembangunan sistem pengurusan halal yang semakin efisien dan inovatif. Kejayaan ini adalah hasil daripada kerjasama serantau yang erat dalam kalangan negara anggota MABIMS. RS MABIMS bukan sahaja menjadi panduan, tetapi juga sebagai rujukan pelaksanaan program-program MABIMS.
4. Penganjuran MABIMS kali ini diyakini akan terus memperkukuh sinergi serantau demi kesejahteraan ummah dan masa depan yang lebih gemilang. Komitmen yang dizahirkan adalah untuk memastikan platform MABIMS terus relevan, dinamik dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai cabaran, serta menjadi contoh terbaik kerjasama serantau dalam bidang hal ehwal Islam.
5. Pertemuan MABIMS Kali Ke-22 akan diadakan di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2027.
6. Semoga pertemuan ini membuahkan hasil yang bermakna dan memberi impak yang berpanjangan buat seluruh umat Islam di rantau ini. Insya-Allah.
Sekian, terima kasih.
KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KEMENTERIAN AGAMA, REPUBLIK INDONESIA
JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) MALAYSIA
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
