Berita

Senarai berita terkini/aktiviti terkini JAKIM
Portal Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
  1.  

    [PASIR PUTEH] | Kursus Pascaperkahwinan Islam Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026.

    Kursus Pascaperkahwinan Islam Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2026 telah berjaya dilaksanakan pada 10 hingga 12 September 2026 bertempat di Tok Aman Bali Beach Resort, Pasir Puteh, Kelantan. Program ini merupakan anjuran Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Bahagian Keluarga Sosial & Komuniti, Jakim dan telah menghimpunkan seramai 18 pasangan suami isteri.

    Kursus ini merupakan salah satu inisiatif dalam memperkukuh institusi keluarga melalui penyampaian ilmu, motivasi dan kemahiran kepada pasangan suami isteri dalam mengurus kehidupan berumahtangga. Fasa Sehati Sejiwa memberi fokus kepada pasangan yang berada dalam tempoh 6 hingga 10 tahun perkahwinan, iaitu satu fasa yang memerlukan pasangan terus memperkukuh komunikasi, kefahaman serta peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam kehidupan berkeluarga.

    Sepanjang pelaksanaan kursus, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian yang dirangka bagi membantu pasangan mengurus kehidupan berkeluarga dengan lebih baik. Antara pengisian yang disampaikan ialah Pengurusan Kesihatan Keluarga, Pengurusan Kewangan Keluarga, Motivasi & Pengurusan Psikologi serta Ibadah dan Pengurusan Stres dalam Rumahtangga. Turut diadakan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK), riadah dan sesi Azam dan Akujanji sebagai pengukuhan komitmen pasangan dalam membina keluarga yang bahagia.

    Melalui pendekatan yang santai, interaktif dan berfokuskan pengukuhan hubungan pasangan, kursus ini memberi ruang kepada suami isteri untuk menilai kembali perjalanan rumah tangga, mengenali kekuatan dan cabaran yang dihadapi serta memperbaharui komitmen untuk terus melangkah bersama dalam membina keluarga yang harmoni.

    Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Anuar bin Haji Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JAHEAIK yang mewakili YABrs. Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK). Majlis turut diserikan ucapan aluan oleh YBrs. Puan Hazizah bin Yusoff, Ketua Penolong Pengarah (Kanan) Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM. Turut hadir majlis perasmian penutup YBrs. Pegawai Agama Jajahan Pasir Puteh.

    Semoga segala ilmu, pengalaman dan pengisian yang diperoleh sepanjang kursus ini dapat dimanfaatkan oleh para peserta dalam memperkukuh hubungan suami isteri serta mengurus kehidupan berkeluarga dengan lebih matang dan berkesan.



    Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Sarawak 01

    Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Sarawak 02

    Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Sarawak 03

    Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Sarawak 04

    Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Sarawak 05

    Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Sarawak 06

    Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Sarawak 07

    Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Sarawak 08
  2. “Menyantuni Jiwa, Membina Harapan, Menuju Fitrah”

    HOTEL GRAND CONTINENTAL, KUCHING, SARAWAK, 4-6 September 2026 - Program ini dianjurkan oleh Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Yayasan Taqwa.

    Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan peserta, membina jati diri serta memberikan bimbingan kerohanian kepada golongan yang berhadapan dengan cabaran sosial. Program ini turut menjadi ruang sokongan kepada para peserta untuk melakukan perubahan positif dan membina kehidupan yang lebih baik berlandaskan ajaran Islam. Program ini dikendalikan oleh Konsultant Smart Triple IQ Sdn Bhd yang berpengalaman lebih 12 menyantuni komuniti.

    Pelbagai pengisian telah dilaksanakan sepanjang program, antaranya ceramah kerohanian, bimbingan dalam kumpulan, perkongsian pengalaman, aktiviti pengukuhan jati diri serta sesi interaksi bersama para pembimbing. Pendekatan yang digunakan menekankan aspek kasih sayang, kebijaksanaan dan sokongan berterusan agar para peserta berasa dihargai serta mempunyai keyakinan untuk meneruskan proses penghijrahan.

    Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ustaz Abang Borhanuddin bin Abang Ahmad Masuine, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

    Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa usaha membimbing golongan yang berhadapan dengan cabaran sosial memerlukan pendekatan yang berhikmah, menyantuni dan tidak menghukum.

    Beliau turut berharap agar segala ilmu, pengalaman dan kesedaran yang diperoleh sepanjang kem ini dapat menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih baik. Para peserta juga diseru supaya terus istiqamah dalam melakukan penghijrahan serta sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.

    Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada JAIS selaku rakan kerjasama di Sarawak, Yayasan Taqwa, para penceramah, fasilitator, urus setia serta semua peserta yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program ini.

    Semoga usaha murni ini memberikan manfaat yang berpanjangan dan menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan mendapat keredaan Allah SWT.

     
     


    Kem Bimbingan Spiritual Sarawak 202601

    Kem Bimbingan Spiritual Sarawak 202602

    Kem Bimbingan Spiritual Sarawak 202603

    Kem Bimbingan Spiritual Sarawak 202604

    Kem Bimbingan Spiritual Sarawak 202605

    Kem Bimbingan Spiritual Sarawak 202606
  3. PUTRAJAYA, 26-27 OGOS2026 /13-14 RABIULAWAL1448H, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah menganjurkan Kursus Peningkatan Kompetensi Fasilitator KSKCareCentre, Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) Bagi Modul Kaunseling Syarie Tahap Pertengahan secara dalam talian google meet. Kursus ini mendapat penyertaan seramai 120 orang peserta yang terdiri dalam kalangan fasilitator KSKCareCentre,Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) di bawah seliaan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Kursus dua hari ini diadakan bagi memberi pendedahan dan peningkatan ilmu kepada para fasilitator khususnya yang baharu dilantik berkaitan Modul Kaunseling Syarie. Para fasilitator berkepentingan untuk menguasai modul ini bagi memastikan setiap sesi khidmat nasihat yang dilaksanakan berasaskan kaedah yang telah disusun berpandukan modul tersebut.  

    Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh penceramah jemputan yang pakar dalam bidang masing-masing telah membuka minda para peserta dalam mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam proses memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada klien yang hadir di KSKCareCentre,PKKSK. Perkongsian ilmu kali ini memberi fokus kepada kaedah bimbingan melalui pendekatan Kaunseling Syarie antaranya proses dan etika kaunseling syarie, kemahiran memimpin soalan, kaedah-kaedah intervensi berasaskan psikospiritual, terapi al-quran dan terapi sirah.

    Para penceramah jemputan adalah dari Persatuan Kaunseling Syarie (PAKSI)  dibawah penyelarasan Prof. Madya Dr. Md Noor bin Saper, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Mereka juga terlibat secara langsung dalam membangunkan modul serta berada di lapangan memberi khidmat bimbingan di KSKCareCentre JAKIM.

    Semoga ilmu yang diperolehi oleh peserta sepanjang kursus ini tidak berhenti sebagai pengetahuan, tetapi diterjemahkan menjadi amal, hikmah dan khidmat. Jadilah kaunselor/pembimbing yang bukan hanya membantu manusia menghadapi masalah, tetapi membantu mereka menemukan kembali kekuatan diri, ketenangan jiwa dan hubungan dengan Allah SWT.

     


    Kursus_PKKSK_2026 01

    Kursus_PKKSK_2026 02

    Kursus_PKKSK_2026 03

    Kursus_PKKSK_2026 04

    Kursus_PKKSK_2026 05
  4. MARANG, TERENGGANU, 23 Ogos 2026 - Program Remaja Islam Sentiasa Excellent (RISE) Camp 2026 yang berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula 21 Ogos 2026 hingga 23 Ogos 2026 telah berjaya dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam memperkasa golongan remaja melalui pendekatan pembangunan sahsiah, kerohanian, pembinaan jati diri dan kemahiran kendiri.

    Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Yayasan Taqwa MAIWP ini menghimpunkan seramai 40 orang remaja di bawah seliaan JKM di bawah Perintah Khidmat Masyarakat, Kanak-Kanak Seliaan dan penghuni Institusi Asrama Rusila, berusia antara 14 hingga 22 tahun.

    Bertempat di Angullia Beach Resort, Marang, Terengganu, RISE Camp 2026 dirangka sebagai sebuah program pembangunan remaja yang menggabungkan elemen kerohanian, kepimpinan, pembentukan sahsiah, kecerdasan emosi, kemahiran sosial, kerja berpasukan dan aktiviti luar dalam suasana yang santai, interaktif dan dekat dengan dunia remaja.

    Antara kekuatan RISE Camp 2026 ialah penerapan nilai Islam dalam setiap pengisian dan aktiviti. Peserta didedahkan kepada kepentingan hubungan dengan Allah SWT, akhlak, disiplin, tanggungjawab, pengurusan diri dan persaudaraan sebagai asas membentuk kehidupan yang lebih seimbang serta positif.

    Pendekatan ini selari dengan aspirasi untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik dan kemahiran, tetapi turut memiliki akhlak, integriti, empati dan ketahanan spiritual.

    Program ini turut menggunakan pendekatan pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) menerusi aktiviti berkumpulan, permainan, cabaran dan aktiviti luar. Melalui pengalaman tersebut, peserta belajar untuk memimpin, mengawal emosi, bekerjasama, menghormati perbezaan, membina kepercayaan dan menghadapi cabaran bersama.

    Salah satu mesej utama RISE Camp 2026 ialah setiap remaja mempunyai potensi untuk menjadi insan yang lebih baik. Tidak kira latar belakang, pengalaman atau cabaran yang pernah dilalui, setiap anak muda mempunyai peluang untuk berubah, berkembang dan mencipta masa depan yang lebih baik.

    Dengan harapan segala ilmu, pengalaman dan nilai yang diperoleh sepanjang program dapat dibawa pulang dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian — di rumah, di sekolah, dalam persahabatan dan dalam komuniti. Kerana perubahan yang besar sentiasa bermula dengan satu langkah kecil. Dan langkah itu boleh bermula dengan seorang remaja yang berani berkata: “Saya mahu menjadi lebih baik.”

    JAKIM dan JKM berharap agar RISE Camp 2026 dapat menjadi salah satu platform berterusan dalam memperkasa generasi muda agar mereka membesar sebagai individu yang berilmu, berakhlak, berdaya tahan, yakin diri dan mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

    Sesungguhnya, membangunkan remaja hari ini bererti kita sedang membina masa depan negara.

    RISE CAMP 2026 — RISE, GROW & SHINE!

    Remaja unggul, keluarga kukuh, masyarakat sejahtera.

     


    Rise Camp 2026 01

    Rise Camp 2026 02

    Rise Camp 2026 03

    Rise Camp 2026 04
  5. TEMERLOH, 20 Ogos 2026 - Menjadi lelaki qawwam bukan sekadar tentang kekuatan fizikal, tetapi tentang keteguhan memikul amanah; bukan sekadar tentang memimpin, tetapi tentang membimbing; bukan sekadar tentang mencari nafkah, tetapi tentang memastikan keluarga terus berada di bawah perhatian dan perlindungan penuh kasih dan iman. Berteraskan matlamat tersebut, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM dan Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) telah menganjurkan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Negeri Pahang 2026 di Grand Astana 2 Event Hall, Temerloh, Pahang Darul Makmur dengan kehadiran 200 peserta lelaki.

    Dua slot utama telah disampaikan dengan pendekatan yang dekat dengan realiti kehidupan lelaki masa kini. Slot pertama, “Kepimpinan Lelaki Melalui Lensa Al-Quran” disampaikan oleh Ustaz Mohamad Nadzri Mustakim, Penolong Pengarah Kanan, Masjid Negara, yang mengupas mengenai tarbiyah pembinaan karakter dan jiwa rajul qawwam melalui tadabbur ayat 1 hingga 10 surah An-Nisa’.

    Sementara itu, slot kedua bertajuk “Kesihatan Lelaki: Realiti dan Solusi” disampaikan oleh Prof. Adj. Dr. Ahmad Samhan Awang, Pakar Kesihatan Lelaki HIM Wellness, yang memberikan pendedahan mengenai aspek kesihatan lelaki serta langkah-langkah praktikal penjagaan kesejahteraan fizikal dan mental agar lelaki kekal berdaya dalam melaksanakan amanah kehidupan.

    Majlis perasmian seminar telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Marzuki Hassan, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM. Turut hadir YH Dato' Haji Abdul Zaki Md Zain, Timbalan Pengarah, JAIP; Tuan Haji Abdul Aziz Abdul Karim, Qadhi Daerah Temerloh; Tuan Mohd Rasmawi Harun, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga, JAIP; serta Puan Hazizah Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM.

    Penganjuran Seminar Lelaki Qawwam ini mencerminkan komitmen berterusan JAKIM dan JAIP dalam usaha pemberdayaan peranan lelaki sebagai tonggak keluarga dan pembina masyarakat. Semoga ilmu dan perkongsian yang disemai melalui seminar ini menjadi titik tolak kepada lahirnya lebih ramai lelaki yang memimpin dengan hikmah, melindungi dengan rahmah dan menunaikan amanah, demi membina keluarga yang sejahtera dan generasi yang unggul.

     


    Seminar Lelaki Qawwam Pahang 2026 01

    Seminar Lelaki Qawwam Pahang 2026 02

    Seminar Lelaki Qawwam Pahang 2026 03

    Seminar Lelaki Qawwam Pahang 2026 04

    Seminar Lelaki Qawwam Pahang 2026 05

    Seminar Lelaki Qawwam Pahang 2026 06

    Seminar Lelaki Qawwam Pahang 2026 07

    Seminar Lelaki Qawwam Pahang 2026 08