Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Segala puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama memanfaatkan platform digital ini sebagai medium penyampaian maklumat dan pengukuhan ukhuwah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda yang telah membawa risalah Islam sebagai rahmat sekalian alam.
Dalam era globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang berkembang pesat, dunia kini bergerak tanpa sempadan. Kepantasan penyampaian maklumat melalui media baharu dan transformasi digital menuntut setiap organisasi untuk lebih responsif, telus dan berdaya saing. Sehubungan itu, JAKIM Sabah sentiasa komited untuk memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan melalui penambahbaikan portal rasmi sebagai saluran informasi yang lebih dinamik, interaktif dan mesra pengguna.
Untuk makluman, JAKIM telah mula beroperasi di Negeri Sabah sejak tahun 1978 dan terus berkembang sebagai agensi Persekutuan yang membantu memperkasa hal ehwal Islam di negeri ini. Dengan kekuatan lebih 4,000 warga kerja merangkumi pegawai dan kakitangan tetap, Penyelia dan Guru KAFA, Guru Takmir, Imam Rawatib serta pelbagai jawatan kader di agensi-agensi kerajaan, JAKIM Sabah memainkan peranan penting dalam pembangunan ummah secara menyeluruh.
Fungsi utama JAKIM Sabah merangkumi pengurusan dakwah, pelaksanaan pendidikan KAFA, pembangunan modal insan, penyelidikan isu-isu semasa hal ehwal Islam serta kerjasama strategik bersama agensi Islam negeri dan Persekutuan. Segala usaha ini digerakkan berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah demi memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat Islam di Sabah.
Portal rasmi ini bukan sahaja memaparkan laporan program dan aktiviti semasa, malah menyediakan bahan rujukan, hebahan rasmi, serta ruang interaksi bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan. Kami amat mengalu-alukan pandangan dan saranan membina daripada semua pihak demi meningkatkan mutu perkhidmatan kami.
Besar harapan kami agar segala inisiatif yang dilaksanakan dapat membantu memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam serta menyumbang ke arah pembangunan masyarakat yang progresif, berilmu dan berakhlak mulia di bumi Sabah tercinta.
Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dr. Baharudin bin Othman
Pengarah
JAKIM Cawangan Sabah