Berada dalam 10 malam pertama di bulan Zulhijjah adalah satu nikmat besar. Ia mempunyai kelebihan di sisi Allah sepertimana yang disebutkan dalam surah al-Fajr, ayat 2. Bulan Zulhijjah bulan terakhir dalam kalendar hijrah. Namun ibadah tidak berakhir dengan penghujungnya kalendar. Semakin mendekati hari kesepuluh, semakin rancak ibadahnya. Malah terdapat tiga hari kebesaran menyusul iaitu hari Arafah, hari Nahar dan hari Tasyrik. Ibadah utama yang dilaksanakan sudah tentulah ibadah haji, hari raya Aidiladha dan ibadah korban.
Saban tahun kehangatan mengerjakan haji mula terasa seawal usainya berpuasa di bulan Ramadan. Lazimnya kursus haji perdana mula digiatkan dan penerbangan jemaah ke tanah suci bermula pada awal bulan Zulkaedah. Namun, pada tahun ini kesunyian terasa tatkala kerajaan dengan berat hati mengumumkan penghantaran jemaah haji ditangguhkan. Ia merupakan satu keputusan yang telah diramal oleh banyak pihak.
Bukan Malaysia sahaja yang mendapat impaknya. Bahkan Arab Saudi yang menguruskan lebih 2.5 juta jemaah haji setiap tahun juga mengambil langkah berhati-hati dengan mengehadkan jumlah jemaah kepada 1,000 orang pemastautin sahaja. Pandemik COVID-19 telah mengheret seluruh dunia mengubah amalan biasa kepada kebiasaan baharu termasuklah aktiviti keagamaan yang menjadi kewajipan bagi umat Islam.
Keanjalan Syariah Dari satu sisi, kita harus sedar bahawa sebahagian besar ibadah dalam Islam tidak bersifat peribadi tetapi ia melibatkan hubungan dan interaksi sosial. Menyedari hal ini para ulama meneliti isu dan implikasinya terhadap aspek ibadah. Ternyata konsep Maqasid Syariah memandu para ulama dalam mengeluarkan hukum berkaitan pelbagai bentuk ibadah termasuklah ibadah haji dan korban.
Menurut Syeikh Ahmad al-Raysuni, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Maqasid Syariah bermaksud tujuan-tujuan yang telah ditetapkan oleh syariat bagi merealisasikan kemaslahatan manusia. Definisi ini menekankan dua perkara penting iaitu ‘tujuan’ dan ‘kemaslahatan’. Tujuan pensyariatan sudah tentulah diambil berdasarkan dalil daripada al-Quran dan Sunnah yang antara lain menggariskan kepentingan ‘mengelakkan kesukaran’ dan ‘menghindari kerosakan’.
Umum mengetahui pandemik COVID-19 yang berlaku merupakan satu kemudaratan yang besar kepada penduduk dunia. Berpandukan kepada tujuan pensyariatan yang menuntut supaya setiap kerosakan dan kemudaratan perlu dielakkan, seluruh dunia perlu menangani wabak COVID-19 dengan bijak. Ia penting demi menjamin kemaslahatan manusia.
Elemen kedua yang ditekankan dalam definisi Maqasid Syariah ialah kemaslahatan. Menurut Imam al-Ghazali, maslahah merujuk kepada langkah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dan mengelakkan sebarang kemudaratan berlaku terhadap kelima-lima elemen ini.
Wabak COVID-19 mengancam nyawa sehingga boleh menyebabkan kematian. Maka ia perlu ditangani demi untuk mencapai objektif pensyariatan dalam menghilangkan kemudaratan. Jika ia ini tidak ditangani segera, wabak ini bukan sahaja mengancam nyawa malah menyebabkan kesan domino terhadap empat elemen maslahah yang lain. Contohnya, dalam memelihara:
- Agama: pengembangan syiar Islam terbantut kerana lebih ramai manusia terkorban. - Akal: pembangunan dan penyelidikan tergugat kerana tahap kesihatan merosot. - Keturunan: zuriat keturunan tidak berkembang akibat bilangan kematian meningkat . - Harta: lebih banyak kos diperlukan untuk merawat penyakit ini.
Justeru tindakan kerajaan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji adalah tepat berdasarkan penelitian syarak. Ia tidak bertentangan dengan tuntutan kelima rukun Islam kerana ayat 97 dalam Surah Ali Imran menjelaskan, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
‘Mampu’ atau dalam istilah bahasa Arabnya iaitu ‘istito’ah’ merangkumi aspek fizikal seperti kesihatan dan keselamatan dan aspek material seperti kewangan. Sekiranya syarat kemampuan tidak tercapai, maka selayaknya ibadah ini ditangguhkan. Ini kerana tahap kebolehjangkitan COVID-19 yang tinggi melalui interaksi sosial boleh mengundang penularan wabak secara drastik. Oleh itu, penyakit ini dilihat sebagai salah satu kekangan dalam mencapai maksud ‘istito’ah’.
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat golongan yang memenuhi syarat mampu untuk mengerjakan haji. Tetapi pencegahan daripada berlakunya lebih banyak kemudaratan perlu dielakkan. Ia selaras dengan kaedah fiqh yang bermaksud, ‘mencegah kemudaratan diutamakan berbanding mencapai kemaslahatan.’ Melihat kepada aspek ini, kerajaan perlu memainkan peranannya dan setiap keputusan yang diputuskan oleh kerajaan perlu mengambil kira kepentingan awam.
Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP Kita bertuah kerana usaha mengekang penularan wabak COVID-19 sebelum ini membolehkan kita menyambut Aidiladha sebagai kemuncak ibadah yang dilakukan sejak 1 Zulhijjah. Masih belum terlambat untuk kita laksanakan pelbagai amalan sunat seperti puasa pada hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah dalam Sahih Muslim, “Puasa pada hari Arafah dihitung oleh Allah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang seterusnya”. Pada hari tersebut, umat Islam yang tidak mengerjakan haji disunatkan untuk bertakbir dan bertahmid setelah selesai solat fardu sehinggalah waktu asar pada 13 Zulhijjah.
Kemeriahan Aidiladha dapat dirasai dengan berkumandangnya laungan takbir serta amalan-amalan sunat yang lain. Ia disambut pula dengan takbir yang bertalu-talu ketika mengerjakan ibadah korban. Sekalipun pelaksanaan ibadah korban adalah terhad dari sudut kapasiti kehadiran dan bilangan korban, namun ia tidak menghalang amalan sunat muakkad ini dikerjakan. Apa yang penting, kita perlu cakna terhadap SOP yang ditetapkan dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan ahli keluarga. Wajib dipastikan bahawa kitalah pengikat hubungan dengan Allah dan sesama manusia dan kitalah jua pemutus rantaian COVID-19.
Kehangatan sambutan Tahun Baru Cina masih terasa. Tidak seperti tahun-tahun lalu, pada tahun ini ia diraikan dengan cara bersederhana tetapi meriah, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Sudah tentu sambutan kali ini akan menjadi kenangan yang paling diingati kerana ia dirai dalam norma baharu. Selain sambutan bersama ahli keluarga, masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama turut mengucapkan selamat, menyediakan juadah sambutan Tahun Baru Cina dan bertukar-tukar makanan antara jiran tetangga. Malah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tidak ketinggalan mengadakan Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina Norma Baharu 2021 secara maya.
Amalan sambutan perayaan pelbagai bangsa seumpama ini sudah menjadi kelaziman di Malaysia. Ia menunjukkan keharmonian hidup berbilang bangsa masih utuh setelah sekian lama ia berpasak di negara ini. Kita beruntung kerana negara ini mengangkat ajaran Islam sebagai kerangka pentadbiran yang holistik. Ini kerana Islam menyediakan panduan menyeluruh untuk satu ekosistem kehidupan majmuk dan dinamik. Islam tidak wujud khusus untuk kaum tertentu, tetapi Islam membawa rahmat ke sekelian alam baik manusia, flora mahupun fauna; baik lelaki mahupun perempuan; baik Melayu, Cina atau India, semuanya tidak tersisih malah sama-sama bernaung di bawah rahmat-Nya.
Tidak dapat dinafikan terdapat isu yang boleh mencetuskan perbahalan antara kaum. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia dengan pelbagai latar belakang pegangan, budaya dan pendidikan. Namun kematangan pemikiran hendaklah mengatasi kerakusan nafsu.
Kematangan dalam menimbang baik dan buruk adalah antara intipati imbangan maslahah dalam Islam. Ia merupakan salah satu daripada prinsip keharmonian sejagat yang diperkenalkan oleh Sheikh Abdullah bin Bayyah, seorang tokoh yang dinobatkan sebagai Duta Keamanan dan Kebebasan Beragama oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan juga penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2019. Neraca pertimbangan maslahah hendaklah berteraskan syarak kerana sumbernya datang daripada Allah SWT, Tuhan untuk semua. Natijahnya, pertimbangan syarak tidak berat sebelah dan cenderung kepada kelompok tertentu sehingga meminggirkan kelompok yang lain. Semuanya pada taraf yang sama di sisi Allah. Berbeza dengan pertimbangan akal dan hawa nafsu semata-mata, ia mudah terpengaruh dengan sesuatu keadaan dan terhad kepada pengetahuan yang sempit.
Menyedari kemajmukan rakyat Malaysia, kita tidak boleh bersifat narsisime terhadap kelebihan diri dan satu-satu kelompok apatah lagi bersifat cauvinis. Ia menghalang perpaduan antara kaum malah meminggirkan semangat perpaduan yang diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sheikh Abdullah bin Bayyah juga menekankan dua prinsip lain iaitu kepentingan hubungan kewarganegaraan dan berpegang kepada sebarang bentuk perjanjian yang menaungi kewarganegaraan tersebut. Sandaran pandangannya jelas.
Terdapat nas-nas al-Quran yang menuntut umat Islam supaya sentiasa berpegang dengan janji. Allah SWT mengingatkan orang-orang beriman dalam ayat pertama Surah al-Maidah, iaitu sebuah surah yang banyak memperincikan konsep interaksi sosial, agar menyempurnakan perjanjian. Dari aspek kenegaraan, perlembagaan adalah satu bentuk perjanjian bagi warganegara yang mendiami sesebuah negara. Begitulah juga bagi individu yang melaksanakan tanggungjawab dan menuntut haknya di Malaysia adalah individu yang diiktriraf melalui Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai timbal balik, setiap warganegara perlu menghormati dan memenuhi tuntutan dalam Perlembagaan tersebut. Dalam Surah al-Nahl, ayat 91 dinyatakan dengan maksudnya, “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu mencabuli sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah).”
Di samping itu, bersikap adil merupakan prinsip yang perlu dijunjung dan dilaksanakan dalam mengurus kepelbagaian pandangan di kalangan masyarakat. Seringkali berlaku ketidakadilan jika wujud sifat berlebihan untuk mempertahankan sesuatu kelompok. Namun, nas kelapan dalam surah al-Maidah mengingatkan agar, “…jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan...” Oleh itu bersikap berat sebelah demi kepentingan atau kehendak sesuatu kaum hendaklah dielakkan, tetapi perlu berlapang dada mengambil jalan yang memberikan kebaikan selaras tuntutan syarak.
Doktrin Islam menyumbang kepada prinsip persaudaraan antara kaum apatah lagi dalam kalangan orang mukmin itu sendiri sesuai maksud Surah al-Hujurat ayat 10. Hubungan antara kaum juga diikat dengan ciri saling kebergantungan antara satu sama lain dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, pendidikan dan sosial. Ia juga membawa kepada pemahaman terhadap prinsip insaniyyah (kemanusiaan) yang menjadikan manusia lebih bersifat penyayang, mempunyai rasa kekitaan sekaligus membuang jauh kebencian, rasa iri dan diskriminasi.
Kita telah menyaksikan bagaimana insiden kematian seorang lelaki kulit hitam bernama George Floyd di Amerika Syarikat telah membangkitkan kemarahan dan protes rakyatnya di seluruh negara. Dianggarkan jutaan penduduk dari pelbagai ceruk menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh ‘Black Lives Matter’. Ironinya, perhimpunan yang dianggap tercetus atas dasar perkauman bertukar menjadi perhimpunan solidariti apabila sebahagian besar peserta terdiri daripada kalangan mereka yang berkulit putih. Ia menjadi bukti sifat kemanusiaan adalah fitrah yang mengatasi perbezaan bangsa dan budaya.
Hakikat kehidupan majmuk pelbagai bangsa dan agama dalam satu-satu kawasan tidak lagi dapat dinafikan. Sudah menjadi lumrah di serata dunia, kemajmukan wujud di mana-mana. Malah ia menjadi suatu keunikan di Malaysia. Kepentingan hubungan antara etnik dan kaum sering diketengahkan demi menjaga keharmonian negara. Perpaduan tidak mustahil. Tetapi ia memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus kepelbagaian dalam kehidupan bermasyarakat. Kesan pengurusan yang efektif akan dapat dinikmati jika ia dilaksanakan atas dasar syariat Islam sebagai agama untuk semua.
Disediakan oleh,
Taqwa binti Zabidi Penolong Pengarah Kanan Bahagian Maqasid Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Diskusi Maqasid Lensa Maqasid berkongsi gambar-gambar setiap program diskusi/wacana/persidangan/libat urus Maqasid Syariah yang telah diadakan oleh Bahagian Maqasid Syariah bermula Januari 2021.
Kapsul Maqasid
KONVENSYEN MADANI 2024 KE ARAH PENGHAYATAN DAN PEMBUDAYAAN NILAI DALAM ERA DIGITAL
Hiwar Maqasid : 5 Prinsip Maqasid Syariah Dalam Kehidupan Harian
Maqasid Syariah Landasan Urus Tadbir Negara
MEDSOS Boleh Rosakkan Maqasid Syariah?
Wacana Eksekutif Maqasid Syariah 2021
Persidangan Meja Bulat "Dasar Manhaj Rabbani"
Air Sumber Kehidupan
Rabbaniyun Berdasarkan Pandangan Ulama'
Minda Maqasid
Pengenalan Maqasid Syariah
Apa Itu Maqasid Syariah
Minda Maqasid Dalam Menangani Wabak Covid-19
Montaj Pelancaran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam
Artikel-artikel Maqasid Dan Siyasah Syar’iyyah Artikel-artikel berkaitan Maqasid Syariah dan Siyasah Syar’iyyah disediakan bagi kemudahan masyarakat awam untuk dijadikan rujukan.