Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Beryukur kepada Allah dengan keizinanNya jua, saya diberi kepercayaan dan kesempatan untuk menerajui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bermula pada April 2021.
Sejarah telah membuktikan bahawa pembinaan dan kelangsungan sesebuah tamadun adalah bermula dari institusi kekeluargaan. Institusi keluarga yang sejahtera melalui keluarga sakinah dan berpaksikan aqidah Islamiah mampu melahirkan sebuah masyarakat bertamadun dan sejahtera. Bagi mencapai matlamat tersebut, Bahagian ini ditaklifkan untuk menyelaras aktiviti dan program berkenaan kekeluargaan, sosial dan komuniti umat Islam. Selain itu, Bahagian ini juga dipertanggungjawabkan untuk menyelaras berkaitan pengurusan nikah, cerai, rujuk umat Islam Seluruh Malaysia serta kunci penyelesaian untuk menangani permasalahan isu-isu wanita islam turut menjadi agenda utama Bahagian ini.
Bagi mencapai objektif tersebut, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti telah menjalin kerjasama strategik terutama dengan agensi agama Islam negeri serta agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). bukan sekadar itu sahaja, jalinan utuh dalam bentuk perkongsian strategik turut diadakan dengan badan bukan kerajaan seperti Majlis Aids Malaysia (MAM), PEMADAM dan lain-lain lagi.
Melalui perancangan yang disusun rapi berdasarkan kepada matlamat dan objektif Bahagian ini, adalah amat diharapkan agar isu–isu kekeluargaan, sosial dan komuniti di kalangan umat Islam dapat ditangani dengan sebaiknya serta mendapat keberkatan dari Allah Taala.
Sekian, wassalam.
MOHD NORIZAN BIN ABD GHANI
Pengarah
Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial & Komuniti
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Pengarah
Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial & Komuniti
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)