Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
2 April 2024 - Penutup tirai bagi sesi libat urus di bawah Pelan Transformasi Al-Falah, JAKIM berkesempatan menjejakkan kaki di Bumi Borneo bagi membentangkan idea awal berkenaan Program KAFA Perdana dan mendapatkan syor penambahbaikan ke arah pelaksanaan di negeri-negeri.Sesi kunjung hormat kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Pengarah, JPNS dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Haji Raisin bin Saidin, Pengarah JPNS. Kehadiran delegasi JAKIM yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Pengarah Bahagian Pendidikan telah disambut oleh pegawai-pegawai JPNS. Turut hadir dalam sesi perbincangan ini ialah YBhg. Datuk Haji Norjeli bin Haji Dais, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Tn. Hj. Mohd Anuar bin Abd. Rani, KPPK Bahagian Pendidikan JAKIM bersama pegawai-pegawai Bahagian Dasar Kemajuan Islam dan Bahagian Pendidikan serta pegawai Sektor Pendidikan Islam, JPNS melibatkan 12 orang ahli perbincangan.

Puan Lizah binti Ismail selaku Ketua Penolong Pengarah, BDKI JAKIM telah membentangkan cadangan penyelarasan KAFA Perdana ke arah lima hari seminggu sesi persekolahan dan kebolehlaksanaan enam jam bekerja guru bagi mendapatkan respon daripada pihak JPNS akan ketersediaan premis untuk membolehkan guru mempunyai ruang untuk bekerja dengan selesa dan kebajikan mereka turut dijamin. Selain itu, sesi kunjung hormat ini juga menyentuh isu seperti waktu transisi sesi persekolahan tamat pada sebelah pagi, keperluan Guru Pendidikan Islam (GPI) sebagai guru penyelaras, keselamatan murid dan aset, pekerja pembersihan, peningkatan penggunaan utiliti, pengoperasian kantin sekolah, penyediaan bilik operasi KAFA, ruang penyimpanan dokumen KAFA termasuklah buku teks dan lain-lain perkara seperti keperluan unjuran peningkatan murid dan kelas serta guru untuk dikemas kini dalam penyediaan kertas cadangan kelak.

Pada masa yang sama, JPNS juga memberikan respon positif bagi pelaksanaan KAFA selama lima hari dan menyokong penuh usaha pemerkasaan program ini malah memohon masa bagi mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu bersama Guru-guru Besar yang telah melaksanakan KAFA di 71 buah sekolah. Sehingga kini, JPNS juga mengakui kepentingan Program KAFA yang memberikan impak dan sumbangan terhadap kemenjadian anak-anak Islam di Sabah. Meneruskan program di Sabah, delegasi JAKIM telah mengadakan sesi libat urus bersama Agensi Pelaksana KAFA di Sabah iaitu JAKIM Cawangan Sabah bagi mendengar pembentangan laporan operasi KAFA di Sabah. JAKIM juga mengambil maklum akan isu-isu yang dibangkitkan khususnya mengenai isu-isu pengurusan dan kewangan KAFA di Sabah.  Selaras dengan objektif sesi libat urus ini, delegasi JAKIM mengadakan lawatan mahabbah dengan melihat variasi operasi KAFA di tiga buah premis KAFA terpilih iaitu di KAFA Masjid Taman Limauan, Papar, KAFA Rumah Pangsa Taman Safoda, Papar dan KAFA SK Selupoh, Tuaran. Delegasi JAKIM juga berpeluang mendapatkan penerangan pengurusan KAFA di lapangan dan memantau pematuhan berdasarkan Peraturan-peraturan Pelaksanaan Program KAFA Tahun 2022.

Alhamdulillah selesai sudah sesi libat urus bersama 14 buah Agensi Pelaksana, sesungguhnya besarlah harapan JAKIM agar usaha untuk menyelaras dan menyeragamkan Program KAFA ini mendapat kerjasama penuh pihak negeri selaku Agensi Pelaksana KAFA dan sokongan pihak-pihak pemegang taruh yang lain demi menatijahkan transformasi Program KAFA yang lebih baik, insyaAllah.

SESI KUNJUNG HORMAT BERSAMA JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH DAN SESI LIBAT URUS BERSAMA JAKIM CAWANGAN SABAH 01

SESI KUNJUNG HORMAT BERSAMA JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH DAN SESI LIBAT URUS BERSAMA JAKIM CAWANGAN SABAH 02

SESI KUNJUNG HORMAT BERSAMA JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH DAN SESI LIBAT URUS BERSAMA JAKIM CAWANGAN SABAH 03