Putrajaya - 26 Julai 2024, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Kementerian Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah menganjurkan Program Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Kementerian bertempat di Dewan Sanggar Pujangga, MOTAC, Putrajaya dengan tajuk Libat Urus dan Bicara MADANI Dalam Sektor Pelancongan. Seramai 117 orang peserta yang telah menghadiri program ini. Objektif utama penganjuran program ini ialah untuk memantapkan kefahaman dan memberikan panduan mengenai kepentingan penghayatan nilai-nilai Islam berteraskan prinsip Maqasid Syariah dalam pembangunan diri dan impak kepada organisasi dalam perkhidmatan.
Program ini telah dirasmikan oleh Puan Noorziehan binti Sidin, Ketua Penolong Setiausaha Cawangan Pembangunan Modal Insan dan Kompetensi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang mewakili YBrs. Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. JAKIM telah diwakili oleh YBrs. Ustaz Mohd Suhaimi bin Mohd Yusof, Pengarah Bahagian Maqasid Syariah.
Dalam teks ucapan YBrs. Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff yang dibacakan menegaskan bahawa pelbagai inisiatif, pendekatan dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan bagi meningkatkan penghayatan dan budaya yang baik dalam kalangan penjawat awam khususnya dan masyarakat amnya dalam membentuk dan membina jatidiri beragama, bangsa dan negara. Sehubungan itu program yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan semangat dan harapan baharu dalam tugasan dan tanggungjawab menerusi agenda MADANI yang telah digagaskan oleh kerajaan. Program ini juga bertujuan memberikan kefahaman yang lebih mendalam berkaitan Maqasid Syariah sebagai panduan dalam gerak kerja perkhidmatan serta jalinan erat kerjasama antara MOTAC dan JAKIM.
Program ini diisi dengan slot perkongsian ilmu yang bertajuk Maqasid dan Pelancongan serta Peranan Pelancongan dalam Membangun Negara MADANI yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Mohd Fauwaz bin Ali@Fadzil, Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Perkongsian ilmu dalam program ini menjurus kepada kepentingan pelancongan dalam memperkenalkan sebuah identiti negara disamping kedudukan pelancongan dalam negara MADANI yang bertunjangkan kefahaman Maqasid Syariah sebagai elemen kamaliah dan umran. Kesedaran semua pihak termasuk kerajaan dan masyarakat dalam memberikan fokus utama kepada penghayatan nilai-nilai Islam adalah kewajipan bagi melestarikan alam, tempat bersejarah dan agama sebagai penyumbang gerakan ekonomi dan perolehan hasil negara.









