KOTA BHARU, KELANTAN, 29-30 JUN 2025 – Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM dengan Kerjasama Jabatan Agama Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) telah menganjurkan Kursus Asas Training of Trainer (TOT) Penceramah Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) kepada 50 orang peserta dari kalangan pegawai agama JAHEAIK, imam-imam jajahan Negeri Kelantan, guru-guru dan lain-lain pegawai dari beberapa agensi di Negeri Kelantan.
Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai kandungan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) yang digunakan sebagai panduan dalam pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam seluruh Malaysia. Selain daripada 10 kandungan modul, iaitu Tasawwur Islam, Perkahwinan, Prosedur Perkahwinan, Komunikasi Suami Isteri, Tanggungjawab Suami Isteri, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Kesihatan, Pengurusan Stress dan Konflik, Pembubaran Perkahwinan dan Majlis Akad Nikah dan Walimatulurus. Bagaimanapun, bagi Kursus Praperkahwinan Islam di Kelantan, peserta turut didedahkan dengan topik Kanun Jenayah Syariah.
Seramai 8 orang peceramah pakar telah hadir memberi perkongsian kepada peserta Kursus Asas ini, iaitu Us. Norzaidan bin Haji Hamad dari JAWI, Ust. Yuhaniz binti Mohd Yusop dari JAKIM, Dr. Anees binti Ab Hamid dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Puan Siti Suhaila binti Abd Hamid dari AKPK Cawangan Kelantan, Us. Fadli, Us. Nik Zuhdi dan Us. Mohammad Zhafri bin Mohd Zain dari JAHEAIK dan Dr. Mohd Azimin daripada Mahkamah Syariah Jajahan Tumpat.
Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Hajah Norlailawati binti Mamat, Timbalan Pengarah (Operasi) mewakili YABrs. Dr. Hasnan bin Ramli, Pengarah Jabatan Hal Ewal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK). Turut bersama dalam majlis tersebut YBrs. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM.
Dalam ucapan perasmian yang disampaikan, YBrs. Timbalan Pengarah (Operasi) JAHEAIK telah mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya melengkapkan kehadiran ke Kursus ini serta meletakkan harapan yang tinngi agar semua peserta dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik sebagai penceramah Kursus Praperkahwinan Islam di negeri Kelantan. Peranan ini perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan itqan yang tinggi untuk memberi bimbingan awal kepada anak-anak Negeri Kelantan yang ingin mendirikan rumah tangga. Manakala YBrs. Pengarah Bahagian KSK, JAKIM mengucapkan penghargaan terima kasih di atas Kerjasama JAHEAIK dalam menjayakan penganjuran Kursus ini serta mengharapkan para peserta yang hadir dapat memanfaatkan pengetahuan yang diperolehi bagi menyampaikan menjayakan Kursus Praperkahwinan Islam yang berkesan dan efisien di Negeri Kelantan.
Syabas dan tahniah kepada semua peserta atas lantikan sebagai penceramah Kursus Praperkahwinan Islam.

















