Kuantan, 18 Jun 2025 – Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri (MTQN) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-43 melabuhkan tirainya dengan jayanya dalam satu majlis penutupan rasmi yang diadakan di Swiss-Belhotel, Kuantan, Pahang. Persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini telah menghimpunkan para pengetua Maahad Tahfiz al-Quran Negeri dari seluruh negara.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Yang Hormat Tok Muda Dato’ Dr. Hj. Zulkifle bin Hj. Ali Al-Hafiz, Ahli Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Negeri Pahang, yang turut menyampaikan amanat serta harapan kepada para pengetua agar terus memperkukuh pendidikan tahfiz selaras dengan keperluan semasa.
Dalam ucapannya, Dato’ Dr. Hj. Zulkifle menekankan keperluan untuk melakukan perubahan bagi melahirkan huffaz yang bukan sahaja mahir dalam hafazan Al-Quran, tetapi juga berkemahiran tinggi, berfikiran kritis, dan mampu menyumbang kepada pembangunan ummah serta negara. Ini memerlukan pendekatan bersepadu dan sokongan berterusan dari aspek dasar, kepimpinan, dan infrastruktur.
Beliau turut menzahirkan kegembiraan terhadap perkembangan bidang tahfiz yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat serta pertambahan institusi tahfiz di seluruh negara. Harapan turut disuarakan agar kualiti pelajar dan pengajian tahfiz dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa, menjadikan mereka aset modal insan yang bernilai tinggi untuk negara.
Tambah beliau, kerajaan dan pihak-pihak berkaitan akan terus memberi sokongan padu terhadap pembangunan pendidikan tahfiz, selari dengan aspirasi negara untuk membentuk generasi berakhlak mulia dan berilmu tinggi. Beliau turut menegaskan agar segala hasil perbincangan dan resolusi persidangan kali ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, memberi impak positif kepada ekosistem pendidikan tahfiz nasional.
Turut hadir dalam majlis perasmian penutup ini ialah Tn. Hj. Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim, Pengarah Darul Quran, JAKIM, Tn. Hj. Mohd Lafzul bin Muda, Ketua Pegawai Eksekutif Tahfiz Pahang Sdn. Bhd., serta Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz yang turut menyertai persidangan.
Dalam ucapannya, Tn. Hj. Mohd Ansarullah menyatakan bahawa persidangan ini merupakan sebuah platform penting untuk merancang aktiviti bersama dan merapatkan hubungan antara Darul Quran dan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri, sama ada di peringkat pengurusan, pensyarah mahupun pelajar. Beliau berharap agar persidangan ini dapat menjadi medium perkongsian berkesan yang mampu menyalurkan maklumat serta pandangan ahli mesyuarat ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan tahfiz di Malaysia.
Beliau turut menyeru agar semua LTDQ (Lokasi Tambahan Darul Quran) mempergiatkan usaha memperkasakan program pensijilan tahfiz dari pelbagai aspek termasuk pencapaian akademik, kokurikulum, fasiliti dan tenaga akademik. Dalam masa yang sama, peningkatan jumlah kemasukan pelajar perlu diberi perhatian, demi menjamin kelangsungan program ini tanpa mengabaikan kualiti dan kebolehpasaran graduan tahfiz.
Persidangan kali ini telah membincangkan 1 Kertas Cadangan, 3 Kertas Laporan dan 8 Kertas Makluman. Dengan penganjuran yang berjaya ini, Persidangan MTQN Peringkat Kebangsaan terus membuktikan komitmennya dalam memperkasa pendidikan tahfiz negara selari dengan dasar Rahmatan Lil ‘Alamin dan aspirasi Malaysia MADANI.
Antara pengisian penting sebelum majlis penutupan, dua sesi Leadership Talk telah diadakan yang menyentuh aspek penting dalam pembangunan pendidikan tahfiz. Sesi pertama telah disampaikan oleh YH Dato' Indera Mahmud bin Mohd Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, yang membawakan tajuk “Pengalaman Yayasan Pahang Melaksanakan Ekosistem Pendidikan Tahfiz di Pahang”.
Manakala sesi kedua pula disampaikan oleh YH Dato' Sri Dr. Salehuddin bin Ishak, Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, menerusi tajuk “Peranan Huffaz Dalam Memartabatkan Kualiti Modal Insan”.
Kedua-dua sesi ini telah memberi suntikan inspirasi dan pandangan bernas kepada para peserta, khususnya dalam memperkukuh sumbangan institusi tahfiz terhadap pembangunan modal insan negara.







