KUANTAN, 4 - 6 JULAI 2025 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan sokongan Yayasan Taqwa – MAIWP dan kerjasama Persatuan Insaf Pahang telah menganjurkan Kem Bimbingan Spiritual yang berlangsung selama tiga hari di Residence Inn Cherating, Pahang. Program ini menghimpunkan seramai 40 orang peserta daripada komuniti Men Sex With Men (MSM) yang sedang dalam proses pemulihan dan hijrah.
Kem ini merupakan inisiatif menyantuni komuniti marginal ini dengan pendekatan kerohanian dan psikospiritual Islam, seiring konsep rahmatan lil alamin yang menjadi prinsip utama JAKIM dalam program intervensi sosial. Ia bertujuan memberikan ruang bimbingan jiwa, penguatan nilai spiritual, dan pembangunan kendiri secara sistematik dan berhemah.
Antara pengisian utama program termasuklah kuliah penghayatan ibadah, tadabbur al-Quran, terapi jiwa, sesi muhasabah, qiyamullail, solat berjemaah, dan slot interaktif ‘Tanyalah Ustaz’. Slot-slot ini telah dipimpin oleh tenaga penceramah dan fasilitator dari The Exact Empire Sdn Bhd yang memainkan peranan besar dalam membimbing peserta secara dekat dan menyentuh aspek dalaman jiwa mereka.
Program turut disokong oleh kehadiran Pegawai Psikologi dari Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, yang memberi pendekatan profesional dalam aspek psikologi perubahan tingkah laku dan pengurusan emosi.
Majlis perasmian kem telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian KSK JAKIM. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa usaha membimbing golongan yang sedang berhijrah memerlukan pendekatan yang berhemah, kasih sayang dan tanpa prejudis.
“Kita bukan menghukum masa lalu mereka, tetapi membantu menyediakan jalan pulang kepada fitrah. Ini adalah sebahagian tanggungjawab dakwah kita semua. Saya amat berbangga dengan kesungguhan peserta yang hadir dan berusaha berubah,” ujar beliau.
Beliau turut menyarankan agar pendekatan seperti ini diperkasa dan diperluas ke negeri-negeri lain, dengan kolaborasi antara agensi kerajaan, NGO dan pakar kaunseling demi kesejahteraan masyarakat.















