Putrajaya – 9 Mac 2026, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Perundangan Syariah telah mengurussetiakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Faraid) Bil 1/2026. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Hidayat bin Buang turut dihadiri oleh Tuan Haji Nor Azamir bin Alias, Pengarah Bahagian Perundangan Syariah merangkap Setiausaha Jawatankuasa yang baharu.
Ahli Mesyuarat Jawatankuasa yang hadir terdiri daripada YBhg. Puan Wan Nurhanani Ashikin binti Wan Ibrahim, Penasihat Undang-Undang JAKIM, YBrs. Dr. Mohd Zamro bin Muda, Timbalan Dekan Prasiswazah, UKM Bangi, Tuan Mohd Ridzwan bin Ghazali, Pengarah Bahagian Dasar Dan Penyelidikan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Puan Noor Husnita binti Mohd. Radzi, Peguam Kanan Persekutuan, Bahagian Syariah Dan Pengharmonian Undang-Undang,, Jabatan Peguam Negara, Tuan Indera Shahril bin Mohd Shahid, Pengarah Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Tuan Muhammad Imran bin Ibrahim, Ketua Unit Istinbat, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Tuan Abdullah As-Siddiq bin Mohd Subki, Timbalan Pengurus Unit Undang-Undang, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat pada kali ini telah menjemput YBhg. Tuan Jaiya bin Abu, Pengarah Bahagian Pengurusan Perundangan Tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Putrajaya untuk menyampaikan pembentangan mengenai Kuasa dan Peranan Majlis Agama Islam Negeri Menurut Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98]. Sesi libat urus bersama JKPTG dilaksanakan berikutan wujud pindaan dalam Akta 98 tersebut.
Sesi pembentangan tersebut memberi ruang dan peluang kepada Jawatankuasa Kerja Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Faraid) untuk lebih memahami roh pindaan yang dibuat terhadap Akta 98 sekaligus mengetahui isu-isu berbangkit berikutan pindaan. Selain itu, bagi memastikan Kaedah Faraid yang sedang digubal oleh Jawatankuasa selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa di negara ini.








