Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) mula dilaksanakan pada tahun 2012 hasil keputusan Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) kali ke 49/2009. Skim ini menawarkan pembiayaan pendidikan kepada pelajar tahfiz (30 juzuk) yang memenuhi syarat- syarat tawaran ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah di Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara. Tajaan yang diberikan meliputi kos yuran pengajian dan sara hidup.

Objektif pelaksanaan SPH adalah untuk memartabatkan serta menarik minat masyarakat dalam bidang pengajian al-Quran, membantu menjana modal insan dari kalangan penghafaz al-Quran dan membantu golongan penghafaz al-Quran bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Untuk melayakkan seseorang pelajar mendapat pembiayaan SPH, pelajar perlu memohon, melepasi saringan kelayakan akademik, berjaya dalam sesi temuduga dan diperakukan oleh Jawatankuasa yang dilantik diperingkat JAKIM.


Darul Quran, Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) ditubuhkan dengan objektif untuk melahirkan generasi huffaz al-Quran dan para pendakwah di Malaysia. Bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta menyebarkan maklumat yang tepat berkaitan dengan institut pengajian tersebut, JAKIM telah mewujudkan saluran penyampaian secara dalam talian. Sistem yang dibangunkan ini bukan sahaja menjadi sumber rujukan utama dalam memberi penerangan program-program yang ditawarkan, aktiviti serta maklumat korporat malah meningkatkan kecekapan dalam pengurusan maklumat pelajar dan kampus.
Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bermaksud kelas pengajian Al-Quran dan Fardu Ain bermula tahun 1 hingga tahun 6 yang berdaftar dengan Agensi Pelaksana (Pihak Berkuasa Agama Negeri) dengan menggunapakai kurikulum, buku teks, peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan mengikut jadual atau waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan elaun Guru KAFA dibayar oleh Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM.
Sekolah Agama bermaksud mana-mana tempat yang digunakan bagi tujuan pendidikan, pengajaran atau pembelajaran agama Islam sama ada secara fizikal atau secara dalam talian (maya), di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, tahfiz dan pondok. Ia ditubuh dan ditadbir urus oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) atau individu secara perseorangan atau berkumpulan, atau pertubuhan atau syarikat. Institusi ini berdaftar dengan PBAN dan bukan berada di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sistem e-Mualaf dibangunkan bagi tujuan memantapkan lagi pengurusan pengislaman, pendaftaran pengislaman, pembelajaran, kebajikan dan jagaan saudara muslim. Selain itu, maklumat saudara muslim juga dapat diperolehi dengan segera khususnya apabila berlaku kecemasan dan mengelakkan berlakunya pertindihan tuntutan jenazah.

Maklumat muallaf yang terkandung di dalam system hanya meliputi Perlis, Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan sahaja. Kemudahan ini akan terus diperluaskan bagi merangkumi negeri-negeri lain di dalam masa yang terdekat.