PUTRAJAYA, 9 Februari 2026 - Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, telah berpeluang mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan/ Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia (MKJ) Kali Keempat bertempat di Zenith Hotel, Putrajaya.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Mohamad Kori Jusoh, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM dan diurussetiakan oleh Bahagian Keurussetiaan dan Hubungan Luar JAKIM.
Mesyuarat ini merupakan platform terbaik kepada semua Ketua-ketua Pegawai Eksekutif/ Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri, Pengarah-pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, Ketua-ketua agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan Pengarah-pengarah Bahagian JAKIM untuk mengemukakan idea-idea baharu dan mencari solusi terbaik bagi memastikan syiar Islam terus subur dengan naratif yang telah diwar-warkan iaitu Islam Mekar di bumi Malaysia dan MADANI membantu.
Dalam perutusan Pengerusi MKJ kali ini, YBhg. Dato’ Ketua Pengarah JAKIM telah mengingatkan ahli mesyuarat dengan titah perutusan DYMM Paduka Seri Sultan Perak semasa mempengerusikan MKI Kali ke-74 pada 13 Januari 2026 iaitu Baginda Tuanku memberi perhatian terhadap aspek amanah dalam kepimpinan, pemerkasaan pendidikan serta pengurusan hal ehwal Islam yang berkesan dan berintegriti. Ianya sebagai asas penting dalam mendepani cabaran semasa umat Islam di negara ini.
Disamping itu, YBhg. Dato’ Pengerusi turut mengingatkan ahli mesyuarat tentang isi ucapan amanat Tahun 2026 oleh YAB Perdana Menteri yang menegaskan pendirian Malaysia sebagai negara berdaulat yang konsisten berpegang kepada undang-undang dan aturan antarabangsa, termasuk dalam isu kemanusiaan serta keadilan sejagat. YAB Perdana Menteri turut menggariskan keutamaan reformasi institusi dan tadbir urus, termasuk usaha memerangi rasuah serta memperkukuh akauntabiliti dan pematuhan peraturan. Dalam aspek penyampaian perkhidmatan, YAB Perdana Menteri menggesa penjawat awam meningkatkan kecekapan dan memperluas pendigitalan urusan, termasuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat proses kerja.
Selain itu, YBhg. Dato’ Pengerusi turut berpesan agar amanat YBhg. Tan Sri KSN difahami dan dihayati sebaiknya iaitu “Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi” melalui empat (4) tumpuan strategik untuk seluruh perkhidmatan awam. Antaranya ialah Mempercepat Strategi Perancangan dan Pelaksanaan Pantas, Mempermudah Urusan Rakyat, Memperhebat Pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, dan Memperkasa Pelaksanaan Komunikasi Total. Oleh itu, kita perlu komited untuk menyokong dan menjayakan sepenuhnya amanat KSN melalui tindakan dan penyampaian yang lebih efektif, cekap dan berimpak tinggi.
Mesyuarat kali ini, sebanyak lima (5) kertas cadangan dan lima (5) kertas makluman telah dibentangkan dan berjaya mencapai kata sepakat semua ahli mesyuarat. Sehubungan dengan itu, beberapa tindakan susulan akan diambil bagi memastikan semua perkara yang diputuskan dapat memberikan impak serta hasil yang terbaik.
Muafakat membawa berkat dan semangat ukhuwah melalui wadah MKJ perlu menjadi penghubung yang kukuh ke arah merealisasikan hasrat Malaysia MADANI yang dicita-citakan.








