PUTRAJAYA, 9-10 FEBRUARI 2026 – Usaha memperkukuh institusi kekeluargaan Islam di Malaysia diteruskan melalui penganjuran Bengkel Akhir Pemurnian Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam yang berlangsung selama dua hari di Masjid Putra.
Program yang diadakan pada 9 hingga 10 Februari ini bertujuan untuk memuktamadkan kandungan modul agar lebih relevan, komprehensif, dan selari dengan cabaran semasa alam rumah tangga.
Bengkel ini menghimpunkan barisan penggubal modul yang terdiri daripada pakar pelbagai latar belakang kritikal. Antara agensi dan pakar yang terlibat termasuk wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), pengamal undang-undang, kaunselor bertauliah dan ahli akademik.
Penglibatan rentas agensi ini memastikan modul yang dihasilkan bukan sahaja menyentuh aspek hukum syarak, malah merangkumi perundangan keluarga, pengurusan kewangan, kesihatan fizikal dan mental.
Majlis perasmian penutup bengkel telah disempurnakan oleh Ustazah Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan modul yang mantap sebagai asas pembinaan keluarga sakinah.
Dengan tamatnya bengkel pemurnian akhir ini, modul bersepadu tersebut dijangka akan memberikan impak positif kepada bakal pengantin dalam melayari bahtera perkahwinan dengan lebih bersedia dan berilmu.


















