VISI
Peneraju Pendidikan Tinggi Islam yang unggul di Sabah bagi menjana kecemerlangan generasi Rabbani untuk kesejahteraan ummah sejagat


MISI
Menyediakan program Pendidikan Tinggi Islam yang bersepadu, merangkumi ilmu naqli dan aqli serta kemahiran dan keusahawanan untuk melahirkan graduan berimpak tinggi

OBJEKTIF
  1. Melahirkan generasi Rabbani yang berpendidikan tinggi dan menguasai ilmu naqli serta aqli.
  2. Melengkapkan mahasiswa dengan pelbagai dimensi kemahiran insaniah dan keusahawanan bagi menyediakan keperluan guna tenaga ummah.
  3. Melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk menjadi umara dan pendakwah profesional serta tempat rujukan masyarakat berdasarkan fahaman ahli Sunnah wal-jamaah khususnya di Sabah

FUNGSI
  1. Pusat Pembangunan Keunggulan Muallaf
  2. Pusat Kecemerlangan Kemahiran dan Keusahawanan Islam
  3. Pusat Pembentukan Rijal – Al Dakwah yang Professional
  4. Peneraju Pendidikan Dakwah

PIAGAM PELANGGAN
IPDAS berjanji untuk memberi perkhidmatan cemerlang kepada pelanggannya dengan:
  • Mengeluarkan surat tawaran kepada calon yang berjaya dalam temu duga pengambilan pelajar baharu, tiga (3) minggu selepas tarikh temu duga.
  • Mengeluarkan keputusan kelayakan menduduki peperiksaan tiga (3) hari waktu bekerja sebelum hari peperiksaan.
  • Mengumumkan keputusan peperiksaan semester empat belas (14) hari waktu bekerja sebelum semester baharu bermula.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas segala limpahan rahmatNya dan kurniaNya, selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW dan keluarga baginda. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang kepada para pengunjung kerana melayari laman web rasmi Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS).

Saya melihat laman web ini sebagai wadah utama yang tidak asing lagi dan yang paling berkesan berkesan untuk menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan IPDAS agar lebih dikenali oleh masyarakat terutama yang memerlukan maklumat dalam bidang pengajian dakwah. Harapan Saya juga kepada semua pihak terutamanya kepada pelajar Institut Pengajian Islam Dan Dakwah Sabah (IPDAS) sendiri juga para pengunjung lainnya ianya memenuhi keperluan masyarakat agar Institut Pengajian Islam Dan Dakwah Sabah (IPDAS) dapat dirasai kewujudannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam satu-satunya di Sabah. Segala pandangan untuk penambahbaikan adalah dialu-alukan.

Akhir kata, selamat melayari laman web rasmi IPDAS ini, semoga saluran ini menjadi sumber rujukan yang berguna dan memberi penerangan yang berkesan kepada para pengunjung sekalian. Insya Allah.

Sekian, Terima Kasih.
Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah lebih segar diingati dengan penubuhannya sebagai Pusat Latihan Dakwah Keningau. Dibangunkan pada 10 Oktober 1979 dan dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk memberikan bimbingan agama kepada golongan Mualaf yang menunjukkan peningkatan pengislaman masyarakat Sabah pada awal tahun 1980.

Pada 1 Januari 1984, PLD Keningau telah diserahkan oleh YAB Datuk Harris Mohd. Salleh, Ketua Menteri Negeri Sabah kepada YAB Datu’ Musa Hitam,Timbalan Perdana Menteri Malaysia mewakili Kerajaan Persekutuan dan diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pendidikan Agama Islam di PLD Keningau pada awalnya, dilaksanakan secara intensif selama enam (6) bulan kepada saudara - saudara baharu untuk mengenal Islam sebagai satu cara hidup. Walau bagaimanapun, pada tahun 1993, berlaku perubahan proses pengajian di mana tempoh 6 bulan pengajian telah dipanjangkan kepada 3 tahun sebagai pengukuhan Kursus Tafaquh 1 tahun di Pusat Latihan Dakwah Kudat. Pada tahun 2003, pengajian di PLD Keningau telah ditambah baik kepada setengah tahun dan pada tahun 2008 Kursus Tafaquh dijenamakan kepada Sijil Pengajian Islam dan Dakwah dengan tempoh pengajian 2 tahun (4 semester).

Pada tahun 2008, IPDAS melangkah setapak ke hadapan dengan menaiktaraf pengajian ke peringkat lebih tinggi setanding dengan keperluan semasa iaitu pelaksanaan kursus diperingkat diploma iaitu pengajian Diploma Dakwah Islamiyah dengan kerjasama Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).

Pada 20 Oktober 2012, YB Majer Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mengumumkan nama baharu PLD Keningau kepada Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah. Kini IPDAS mampu berdiri dengan pelaksanaan pengajian sepenuhnya di negeri Sabah. Pada masa yang sama juga Institut Pengajian Tinggi Islam di Sabah dengan perancangan pembangunan baharu, pengembangan program dan pemerkasaan sumber manusia di IPDAS.

Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah,
Kg. Menawo, Beg Berkunci No. 12,
89009, Keningau, Sabah

Telefon: 087-331868


Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah,
Kampus Kudat,
KM22, Jalan Sikuati, Peti Surat 406,
89059 Kudat, Sabah

Telefon: 088-612359
HURAIAN APLIKASI LIMA (5) PRINSIP MAQASID SYARIAH DALAM TADBIR URUS
 
 
1. Menjaga Agama
Dalam konteks Malaysia, memelihara Agama (ad-din) bermakna untuk mengelakkan apa-apa yang mungkin melanggar dan memusnahkan asas-asas, yang termasuk mempertahankan negara dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan secara man dan harmoni sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
Sebagai pemerintah, menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama di tempat yang teratas. Pemeliharaan akidah umat Islam adalah perkara utama yang patut diberi perhatian agar ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT dan RasulNya menjadi keutamaan, serta ketaatan kepada pemimpin turut dititikberatkan.
 
 
2. Menjaga Nyawa
Memelihara nyawa (hifz an-nafs) adalah memelihara maruah, persaudaraan dan kesaksamaan sosial, keadilan, keselamatan hidup, harta dan maruah, pemerintahan yang baik, mengurangkan kadar kemiskinan dan memnuhi keperluan pekerjaan, pengagihan saksama pendapatan dan kekayaan, perkahwinan dan kehidupan keluarga yang stabil, perpaduan sosial dan pengurangan jumlah jenayah serta keamanan dan kestabilan.
 
Sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan mengelakkan pertumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan menghadapi kemusnahan, manakala ketenteraman dan keamanan pula akan hilang.
 
 
3. Menjaga Akal
Pemeliharaan akal ertinya memberi perlindungan kepada akal manusia dari apa-apa yang akan merosakkan. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Semua unsur-unsur yang menjurus pada kehilangan dan merosakkan akal serta pemikiran seperti arak, dadah serta filem yang merosakkan, sudah semestinya dibanteras dan dihalang dengan segera.
 
Selain itu, penyediaan infrastuktur dan system pendidikan yang holistic serta terbaik menjadi tanggungjawab kerajaan bagi membolehkan setiap rakyat mendapat pendidikan sempurna. Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan asas untuk mencapai kemajuan dan mewujudkan umat yang bertamadun. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, faktor ilmu bersepadu, kemajuan sains dan teknologi sewajarnya menjadi focus bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan ketrampilan tetapi juga memiliki nilai-nilai murni yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan negara, bangsa dan manusia sejagat.
 
 
4. Menjaga Keturunan
Konsep memelihara keturunan melibatkan perlindungan dan pemeliharaan keturunan. Ia adalah penting untuk membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan berkesan. Keturunan wajib dipelihara demi menjaga system sosial dalam masyarakat.
 
Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi agama dan tabi’ie manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya, maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh jalur keturunan yang suci serta merosakkan maruah agama, bangsa dan negara.
 
 
5. Menjaga Harta
Memelihara harta bermakna melindungi kekayaan masyarakat daripada kehancuran dan dari peralihan harta ke tangan orang lain dengan cara yang tidak sah termasuk larangan terhadap ketidakadilan, menafikan hak dan sebagainya. Sebagai pemerintah wajib memelihara dan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, cetak rompak, menipu hak intelek, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan.
 
Pembangunan ekonomi ini boleh dilakukan melalui pengukuhan sumber manusia, pendidikan, kemajuan teknologi, etika kerja, menggubal dasar-dasar kewangan dan fiscal yang betul untuk mempercepatkan pembangunan, akses kepada modal melalui pembiayaan mikro kepada golongan miskin, serta memberi pekerjaan dan peluang pekerjaan.
 
 
 
 
Infografik 5 Prinsip Maqasid Syariah