VISI
Berperanan sebagai sebuah agensi persekutuan yang membantu agensi agama Islam negeri dalam memperkasakan hal ehwal Islam
 

MISI
Membangun ummah yang progresif dan berakhlak mulia melalui aktiviti dakwah, penyelidikan dan penyelarasan secara holistik
 

OBJEKTIF
  • Melahirkan ummah yang berkualiti dari sudut penghayatan nilai-nilai Islam melalui aktiviti dakwah dan penyelidikan.
  • Menjalankan penyelidikan dan menyediakan maklumat hal ehwal Islam dalam pelbagai bidang.
  • Menyelaraskan aktiviti dakwah bersama Agensi Agama Islam Negeri, Persekutuan dan NGO’s.
 

FUNGSI
Membantu Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak dalam memastikan ajaran Islam tersebar luas berasaskan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah
 

FUNGSI KHUSUS
  • Bekerjasama meningkatkan pembangunan ummah melalui aktiviti dakwah bersama agensi Islam, kerajaan, badan berkanun dan NGO’s.
  • Menjalankan penyelidikan pembangunan ummah dan perkongsian informasi hal ehwal Islam.
  • Mengukuhkan jalinan hubungan (networking) dalam kalangan agensi persekutuan, negeri, NGO’s dan masyarakat setempat.
  • Bertanggungjawab bagi merancang, melaksanakan dan memantau pengurusan pentadbiran, pembangunan dan kewangan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah segala puji dan syukur dirafa’kan ke hadrat Allah SWT atas segala kurnia dah rahmatNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhamad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda sekalian.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak telah mula ditubuhkan di bumi Kenyalang sejak tahun 1978 dan telah dibuat penstrukturan semula pada tahun 2018, setelah 40 tahun beroperasi. Namun, objektif pewujudan JAKIM Sarawak adalah tidak berubah iaitu ingin melahirkan ummat Islam yang berkualiti dan menghayati nilai-nilai Islam dalam kehidupan melalui program-program dakwah dan penyelidikan yang dianjurkan. Disamping itu, JAKIM Sarawak berperanan sebagai sebuah agensi persekutuan yang membantu agensi agama Islam negeri dalam memperkasakan hal ehwal Islam.

Kini JAKIM Sarawak bergerak dengan 3 bahagian utama yang masing-masing menjalankan amanah yang diberikan iaitu; merancang, melaksana dan memantau pengurusan pentadbiran, bekerjasama meningkatkan pembangunan ummah melalui aktiviti dakwah bersama agensi Islam, kerajaan, badan berkanun dan NGO’s serta menjalankan penyelidikan pembangunan ummah dan perkongsian informasi hal ehwal Islam.

Diharapkan semoga pembangunan portal JAKIM ini dapat membantu masyarakat awam memperoleh maklumat yang tepat terutama yang berkaitan permasalahan agama sekaligus secara tidak langsung membantu melancarkan lagi perjalanan aktiviti yang dirancang JAKIM Sarawak dan seterusnya merealisasikan misi, visi serta objektif Jabatan.

Akhir kalam, JAKIM Sarawak amat mengalu-alukan sebarang komen, pandangan dan cadangan untuk penambahbaikan supaya keberkesanan fungsinya akan memberikan manfaat buat semua.

Sekian, terima kasih.

HAMDAN BIN JAR’EE
Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Sarawak
JAKIM Sarawak
Aras 9, Majma' Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah,
Lorong P. Ramlee 5, Jalan P.Ramlee,
93400 Kuching, Sarawak.
No. Telefon : 082-507224
No. Faks : 082-507217


LATAR BELAKANG

Sejarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak bermula dengan pewujudan sebuah Unit Latihan dan Dakwah (INDAH) di bawah Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Sarawak pada 11 September 1978. Unit berkenaan dipelopori oleh empat orang pegawai yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (KPP). KPP tersebut turut bertanggungjawab mengetuai Unit INDAH, Sabah.

Pada tahun 1984, berikutan dengan penyusunan semula Bahagian Agama JPM, jawatan KPP INDAH di Sarawak telah dinaikkan tarafnya. Pentadbiran Unit INDAH Sarawak dan Sabah dipisahkan dan masing-masing mempunyai pentadbirannya sendiri serta dikenali sebagai Unit Dakwah Sarawak dan Sabah. Berikutan dengan itu jumlah pegawai dan kakitangan turut bertambah dan aktiviti dakwah di Cawangan Sarawak diperkembangkan dengan penubuhan tiga unit iaitu Unit Sibu, Unit Miri dan Unit Lawas. Unit Sibu merangkumi Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit. Manakala Unit Miri merangkumi Bahagian Miri serta Bintulu dan Unit Lawas merangkumi Bahagian Limbang sekitarnya.

Pada tahun 1987, Bahagian Agama, JPM ditukar kepada Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), JPM. Bermula pada 1 Januari 1997, BAHEIS Cawangan Sarawak telah dinaikkan taraf menjadi JAKIM Cawangan Sarawak seiring dengan kenaikan taraf BAHEIS, JPM kepada JAKIM. Selain itu, JAKIM Cawangan Sarawak turut diperluas fungsinya untuk mengurus tadbir Pusat Latihan Sarawak, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak dan Pusat Latihan Lawas.

Namun, pada Disember 2018, JAKIM telah membuat penstrukturan semula perjawatan secara menyeluruh termasuk perjawatan di negeri-negeri. JAKIM Cawangan Sarawak telah diasingkan pentadbirannya daripada Pusat Latihan Sarawak, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak serta Pusat Latihan Lawas dan seterusnya dikenali sebagai JAKIM Sarawak.

Carta Organisasi Jakim Sabah