Alhamdulillah, bersyukur kepada Ilahi kerana saya diberi kesempatan untuk merakamkan ucapan dalam laman web bahagian ini. Sebenarnya saluran internet ini sangat penting sebagai pengenalan kepada masyarakat untuk mengetahui dan mengenali Bahagian Penyiaran, JAKIM dengan lebih dekat.
Bahagian Penyiaran adalah salah satu bahagian di JAKIM yang dianggap penting kerana berperanan sebagai medium penyiaran untuk menyampaikan mesej JAKIM dan menyebarkan dakwah kepada masyarakat di negara ini menerusi media penyiaran elektronik dan media sosial.
Bahagian Penyiaran bertanggungjawab untuk menerbitkan rancangan-rancangan agama yang disiarkan menerusi saluran TV dan Radio RTM sejak 1994 lagi. Setakat ini kita bukan sahaja menerbitkan rancangan harian dan mingguan di TV dan Radio tetapi bahagian ini turut menerbitkan siaran secara langsung / live bagi program-program utama JAKIM seperti Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada setiap tahun.
Sehingga kini, rancangan-rancangan TV terbitan Bahagian Penyiaran telah mendapat rating bilangan penonton yang tinggi dan baik seperti Forum Perdana Ehwal Islam, Myhalal, Anda Musykil, Fikrah, Tilawah Interaktif dan beberapa lagi. Manakala rancangan agama radio pula disiarkan di radio utama RTM seperti Nasional FM, Klasik FM dan stesen radio pelbagai bahasa iaitu Asyik FM, Ai FM, Minnal FM dan Traxx FM.
Bahagian Penyiaran mempunyai stesen radio sendiri apabila Salam FM ditubuhkan pada 15 Februari 2009. Salam FM bersiaran pada setiap hari dari jam 11 malam hingga 8 pagi menerusi frekuensi 91.1 FM dengan menyiarkan sepenuhnya rancangan-rancangan agama terbitan JAKIM. Penubuhan Salam FM merupakan satu kejayaan kepada bahagian ini dalam merealisasikan penyebaran dakwah kepada masyarakat dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Seterusnya misi penyebaran dakwah melalui media penyiaran JAKIM terus berkembang apabila Unit Media Digital Interaktif (MDI) diwujudkan di Bahagian Penyiaran. Unit MDI dipertanggungjawabkan untuk membuat siaran live streaming bagi program TV dan Radio serta program-program dakwah anjuran bahagian-bahagian di JAKIM menerusi jaringan media sosial seperti facebook. Fungsi MDI membolehkan dakwah disebarkan dengan lebih cepat dan lebih meluas.
Saya berdoa agar Bahagian Penyiaran terus maju dalam misinya menyebarkan dakwah dan membantu JAKIM untuk memberi kefahaman dan penghayatan nilai-nilai Islam kepada seluruh masyarakat di negara ini dan umat Islam seluruhnya.
Sekian.
Pengarah Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Pada tahun 1968 persidangan Majlis Raja-Raja Melayu telah memutuskan bahawa perlunya badan bagi menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan taraf negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang semakin kukuh serta mendapat perhatian dunia antarabangsa.
Menyedari hakikat ini, satu urus setia kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Malaysia telah ditubuhkan bagi memelihara kesucian akidah dan ajaran Islam. Urus setia ini kemudiannya telah dikembangkan sebagai Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri yang kemudiannya dinaiktaraf sekali lagi menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS).
Untuk memudahkan kerja-kerja dan fungsi BAHEIS agar lebih berkesan dalam bidang informasi dakwah Islamiah, kerajaan memutuskan satu Unit Penyiaran ditubuhkan di bawah kawalan Cawangan Dakwah BAHEIS. Akhirnya pada 1 Jun 1994, kerajaan (kabinet) mengarahkan dua (2) Unit Penyiaran di RTM (Unit Dakwah Radio dan Unit Dakwah TV) dipindahkan ke BAHEIS. Kedua-dua unit ini kemudiannya digabungkan menjadi satu dan dinamakan Unit Dakwah Radio dan TV atau ringkasnya UDRTV.
Pada 1 Januari 1997, selaras dengan usaha kerajaan untuk menaikkan taraf pentadbiran syariah di peringkat kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditubuhkan bagi mengambil alih kuasa dan peranan BAHEIS. Unit Dakwah Radio dan TV (UDRTV) pula ditukarkan nama kepada Bahagian Penyiaran JAKIM @ Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran atau ringkasnya MEP. Selepas 14 tahun, pada tahun 2010, nama bahagian ini ditukar kepada Bahagian Media. Bagaimanapun, selaras dengan “redeployment” JAKIM pada 01 Disember 2018, bahagian ini diberikan nama baru yang lebih selari dengan tanggungjawabnya iaitu Bahagian Penyiaran. Bahagian Penyiaran JAKIM diberi tanggungjawab untuk menerbitkan program keagamaan TV dan Radio untuk disiarkan di saluran TV dan saluran Radio RTM.
Selain dari itu, Bahagian Penyiaran juga mempunyai saluran radio sendiri yang diberi nama Salam FM. Diwujudkan pada 15 Februari 2009, Salam FM bersiaran menerusi konti Asyik FM di Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Bersandarkan tagline Menjana Minda Ummah, Salam FM menemui pendengar bermula jam 11.00 malam hingga 8.00 pagi pada setiap hari di frekuensi 91.1 FM.
VISI Membentuk ummah yang berilmu, beriman, dan berakhlak mulia melalui sumber ilmu yang tepat.
MISI Menjadikan media cetak Jakim sebagai media cetak ilmu Islam yang berwibawa dalam pembentukan ummah.
OBJEKTIF Membangun pemikiran ummah dan menyebar dakwah Islamiah melalui bahan-bahan terbitan bercetak berunsur Islam dalam pelbagai bidang.
FUNGSI
Mendapatkan bahan untuk diterbitkan dalam bentuk buku, majalah, risalah dan sebagainya.
Menapis, menilai dan mengedit sebelum bahan diterbitkan.
Menguruskan percetakan dalaman.
Menguruskan percetakan luaran.
Menerbitkan buku-buku jualan.
Menerbitkan bahan-bahan terbitan percuma.
Memasar dan mengedarkan bahan-bahan terbitan.
Mengurussetiakan penyediaan bahan dan urusan percetakan untuk majlis-majlis kebesaran dan keraian Islam.
Menyediakan khidmat jurufoto.
Memberi khidmat nasihat penerbitan dan percetakan.
Menyediakan perkhidmatan Perpustakaan Kakitangan Jakim dan Perpustakaan Awam Islam.
PIAGAM PELANGGAN
Menerbitkan buku berunsur Islam mengikut kategori seperti berikut:
Ada manuskrip:
Buku teras - 1 hingga 2 tahun.
Buku umum dan kanak-kanak - dalam tempoh 1 tahun
Tiada manuskrip:
Buku teras - 1 hingga 3 tahun
Buku umum dan kanak-kanak - 1 hingga 2 tahun
Menerbitkan majalah Sinar Rohani, Cahaya dan Pendidik sebanyak enam keluaran dalam setahun, iaitu tidak lewat pada minggu pertama bulan Februari, April, Jun, Ogos, Oktober dan Disember.
Menerbitkan Buletin Jakim pada minggu pertama setiap bulan.
Menerbitkan risalah dan rampaian berunsur Islam dalam tempoh dua bulan dari tarikh lantikan penulis.
Mengedarkan bahan-bahan terbitan berkala Jakim dalam tempoh dua bulan dari tarikh diterbitkan.
Menerbit dan mengedar buku, majalah dan risalah dalam bidang keilmuan Islam mengikut jadual yang ditetapkan.