Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Perkongsian aspirasi Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTU-s) diteruskan lagi menerusi sesi ‘Teh Tarik GTU-s’ Siri 2/2018 yg berlangsung dalam suasana santai dan penuh keceriaan pada petang Isnin, tanggal 26 Februari 2018. Majlis yang dianjurkan secara bersama oleh Bahagian Kemajuan Islam (BKI), Jakim dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang turut bertindak selaku tuan rumah, telah meninggalkan kesan dan berbekas di hati para hadirin yang diundang. Manakan tidak, kesediaan Ketua Pengarah YaPEIM, YBhg. Dato’ Abibullah bin Haji Samsudin untuk berkongsi mengenai amalan tadbir urus di YaPEIM selaku agensi dibawah tanggungjawab beliau, telah membuka mata tetamu yang hadir akan peri pentingnya integriti dan akauntabiliti dalam kalangan warga kerja di setiap peringkat organisasi. Selain itu, YBhg. Dato’ Abibullah turut berkongsi idea mengenai cadangan carta rangka pelaksanaan GTU-s di YaPEIM yang merupakan salah sebuah agensi perintis kepada pelaksanaan GTU-s. Ternyata, perkongsian yang cukup berharga itu dapat dijadikan panduan kepada agensi-agensi lain dalam merangka perancangan dan tindakan ke arah membudayakan tadbir urus Syariah di agensi mereka.

Wacana ilmu pada petang tersebut diteruskan lagi oleh Puan Hajah Yasmin binti Haji Mohd Ramzi (Pengerusi South East Asia Regional Board, The Assiociation of International Certified Professional Accountants) yang tidak lokek untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman luas beliau berkaitan aspek tadbir urus dalam sebuah syarikat korporat antarabangsa tersohor, yang melayakkan beliau dipilih sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Task Force Tadbir Urus Agensi Agama. Antaranya ialah berkenaan dengan teras dan prinsip utama amalan tadbir urus Syariah yang wajar dilaksanakan oleh setiap organisasi, selain eleman yang menjadi pengukuran kepada keberkesanan Lembaga (Pengurusan Tertinggi) bagi sesebuah organisasi.

Turut hadir pada program ‘Teh Tarik GTU-s’ Siri 2/2018 ini ialah Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua-ketua agensi dan Ketua Pelaksana GTU-s serta wakil agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang pulang dengan pengisian ilmu di dada. Sudah pasti program yang amat bermanfaat ini tidak berakhir di YaPEIM, malah akan diteruskan lagi sehingga berjaya membumikan tadbir urus berteraskan Syariah kepada seluruh warga kerja agensi agama di bawah JPM.

Teh Tarik GTuS 1
 
Teh Tarik GTuS 3
 
Teh Tarik GTuS 4
 
Teh Tarik GTuS 2
 
Teh Tarik GTuS 5