SEMINAR LELAKI QAWWAM PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2026 : MEMPERKASA KEPIMPINAN LELAKI, MEMBINA UMMAH MADANI
PENANG, 19 Oktober – Kepimpinan lelaki qawwam bukan hanya diukur pada kemampuan memimpin dan memberi, tetapi juga pada kehadiran, perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan kepada keluarga. Seiring dengan aspirasi tersebut, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM dengan kerjasama Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) telah menganjurkan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 pada 19 Oktober 2026 bertempat di Olive Tree Hotel, Penang.
Seminar yang memfokuskan pemerkasaan kaum lelaki ini menghimpunkan hampir 300 peserta daripada pelbagai latar belakang. Dua slot perkongsian ilmu telah diketengahkan bagi membincangkan aspek kepimpinan serta kesejahteraan lelaki berdasarkan tuntutan agama dan cabaran kehidupan masa kini. Slot pertama bertajuk “Lelaki Qawwam Melalui Lensa Al-Quran dan Sunnah” telah disampaikan oleh Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, Ahli Lembaga Pemmegang Amanah YADIM, dan slot kedua, “Kesihatan Lelaki: Realiti dan Solusi”, disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail, Dekan Fakulti Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.
Majlis perasmian seminar telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Rosidi bin Hussain, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), mewakili YB Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang; dan ucapan alu-aluan oleh Yang Berusaha Tuan Mohd Hafiz Aswad bin Nadzri, Pengarah JHEAIPP. Turut hadir Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian KSK, JAKIM; Dr. Azura binti Abdullah, Pengarah Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pulau Pinang; Ustaz Mohamad Kairi bin Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP); Dr. Mohamad Nazmi bin Mohamad Hussain, mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang; Encik Anas Haritah bin Ahmad, mewakili Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang.
Penganjuran seminar ini memperlihatkan iltizam berterusan JAKIM dan JHEAIPP dalam memperkukuh peranan lelaki sebagai peneraju keluarga dan penyumbang kepada kesejahteraan ummah. Diharapkan perkongsian ilmu yang disampaikan menjadi pemangkin kepada pembentukan lebih ramai lelaki qawwam yang berhikmah dalam memimpin, penuh rahmah dalam melindungi dan teguh dalam menunaikan amanah, sekali gus membina institusi keluarga yang harmoni serta melahirkan generasi berakhlak mulia.
