Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

PERSIDANGAN KETUA-KETUA PENDAFTAR NIKAH, CERAI DAN RUJUK (KPNCR) BERSAMA KETUA-KETUA PENDAFTAR JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI/ MAHKAMAH SYARIAH NEGERI (KPJKSN/ MSN) SELURUH MALAYSIA KALI KE-17 TAHUN 2026

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) dan Ketua-ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (KPJKSN/ MSN) Seluruh Malaysia Kali Ke-17 Tahun 2026 pada 22 Oktober 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Persidangan ini merupakan platform tahunan yang penting dalam memperkukuh kerjasama strategik, penyelarasan dasar dan pemantapan tadbir urus antara agensi pentadbiran agama Islam dengan institusi kehakiman syariah dalam meningkatkan kecekapan serta keberkesanan pengurusan nikah, cerai dan rujuk di Malaysia.

Antara fokus utama persidangan adalah menyelaras prosedur, peraturan, borang dan amalan kerja antara pihak berkuasa agama negeri dengan institusi kehakiman syariah sama ada di dalam mahupun di luar negara. Penyelarasan ini penting bagi memastikan pengurusan nikah, cerai dan ruju’ selari dengan undang-undang Islam yang berkuatkuasa agar lebih sistematik, seragam dan berkesan demi kepentingan masyarakat Islam di Malaysia.

Persidangan selama satu hari ini telah dipengerusikan bersama oleh Ybrs. Tuan Abdul Razak bin Mat Nayan, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Dr. Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM.

Penganjuran persidangan ini membuktikan komitmen berterusan JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri dan agensi strategik dalam memperkukuh sistem pengurusan kekeluargaan Islam dan undang-undang Islam di Malaysia. Melalui perbincangan, penyelarasan dan perkongsian maklumat yang dilaksanakan, persidangan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk secara lebih cekap, profesional dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat.