Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

PERSIDANGAN KETUA-KETUA PENDAFTAR NIKAH, CERAI DAN RUJUK SELURUH MALAYSIA KALI KE-53 TAHUN 2026

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), telah menganjurkan Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) Seluruh Malaysia Kali Ke-53 Tahun 2026 pada 21 Oktober 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Islam Putrajaya.

Persidangan ini merupakan platform tahunan yang penting dalam memperkukuh tadbir urus perkahwinan, perceraian dan ruju’ orang Islam di Malaysia. Sebagai persidangan wajib bagi Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk seluruh negara, program ini dilaksanakan sebanyak dua kali setahun bagi membincangkan isu-isu semasa, cabaran pelaksanaan serta cadangan penambahbaikan berkaitan pengurusan nikah, cerai dan rujuk.

Antara fokus utama persidangan adalah menyelaras prosedur, peraturan, borang dan amalan kerja antara pihak berkuasa agama negeri serta agensi-agensi berkaitan, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Penyelarasan ini penting bagi memastikan pengurusan nikah, cerai dan ruju’ dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, seragam dan berkesan demi kepentingan masyarakat Islam di Malaysia.

Persidangan selama satu hari ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Dr. Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM. Sepanjang persidangan berlangsung, sebanyak tiga kertas makluman dan cadangan telah dibentangkan. Kertas-kertas makluman dan cadangan tersebut adalah seperti berikut:

1. Aplikasi Kalkulator Takwim Hijri; Nasab dan Iddah (Kematian)
    Oleh: Cawangan Falak, Bahagian Penyelidikan JAKIM

2. Penyelarasan Dokumen Sokongan Pengesahan Dokumen Perkahwinan oleh Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di Luar Negara
    Oleh: Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM

3. E-Pembelajaran Kursus Perkahwinan Islam (KPPI)
   Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Penganjuran persidangan ini membuktikan komitmen berterusan JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri dan agensi strategik dalam memperkukuh sistem pengurusan kekeluargaan Islam di Malaysia. Melalui perbincangan, penyelarasan dan perkongsian maklumat yang dilaksanakan, persidangan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk secara lebih cekap, profesional dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat.