Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

MENYENTUH JIWA, MEMPERKASA INSAN: PTPI JAKIM PERKUKUH PEMULIHAN KLIEN AADK SELANGOR

 

BANTING, 14 OKTOBER 2026 – Program Terapi Psikospiritual Islam (PTPI) Klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor Siri 7 Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Al-Hidayah, Telok Panglima Garang, Banting, Selangor, dengan penyertaan seramai 58 orang peserta yang terdiri dari klien AADK di daerah Kuala Langat.  Program anjuran Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama AADK Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini bertujuan memperkukuh kerohanian dan penghayatan ibadah sebagai salah satu usaha menyokong proses pemulihan klien secara holistik.

Program telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Hajah Norraini binti Nordin, Pengarah Kanan, Sektor Ekonomi dan Pembangunan Sosial, MAIS, yang mewakili YBrs. Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS. Turut hadir ialah YBrs. Puan Norihan binti Zakaria, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Sosial dan Komuniti, yang mewakili YBhg. Dato’ Marzuki bin Hassan, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM; YBrs. Encik Mohamed Ridzuan bin Wan Ismail, Penolong Pengarah AADK Selangor, yang mewakili YBrs. Tuan Nazir bin Mohamad, Pengarah AADK Selangor; YBrs. Ustaz Muhammad Hafiz bin Azarha, Ketua Unit Penguatkuasa, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Langat; serta YBrs. Encik Kamarudin bin Hassan, yang mewakili Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Panglima Garang.

Pengisian program dikendalikan oleh Ustaz Mohd Mustafidurrahman bin Mohd Syahroni, Imam Masjid Putra, Putrajaya merangkap fasilitator KSK Care Centre. Antara pengisian utama ialah tahsin dan amali ibadah yang merangkumi penerangan serta praktikal wuduk, tahsin Surah al-Fatihah, solat sunat Dhuha dan solat sunat Taubat. Peserta turut mengikuti perkongsian berkaitan terapi zikir dan tazkiyatun nafs yang menekankan kepentingan penyucian jiwa, pengukuhan hubungan dengan Allah SWT serta pembentukan sahsiah positif. Pengisian ini diharap dapat menyemai kesedaran dan keinsafan, di samping membantu peserta membina kekuatan dalaman untuk menghadapi cabaran sepanjang proses pemulihan.

Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan kepada klien, majlis turut menyaksikan penyampaian bakul makanan sumbangan Dapur Fidyah MAIS yang disempurnakan oleh YBrs. Dr. Hajah Norraini binti Nordin kepada YBrs. Encik Mohamed Ridzuan bin Wan Ismail yang mewakili AADK Selangor.

Kerjasama strategik antara JAKIM, AADK Selangor, MAIS, JAIS dan pihak masjid mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam menyokong pemulihan klien melalui pendekatan kerohanian, kebajikan dan pembangunan sahsiah. Secara keseluruhannya, penganjuran PTPI ini diharapkan dapat memperkukuh penghayatan agama, meningkatkan kesedaran kendiri serta membina keyakinan peserta untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

JAKIM bersama rakan strategik yang lain akan terus mempergiat usaha dakwah dan bimbingan psikospiritual Islam dalam usaha menyokong proses pemulihan klien AADK secara menyeluruh berteraskan nilai-nilai Islam.